
KENYATAAN MEDIA
TEKNOLOGI PEMPROSESEN GETAH KRIP TINGKATKAN
PENDAPATAN PENOREH
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan membangunkan model untuk memajukan rantaian nilai sektor huluan getah bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah di negara ini, melalui pengenalan projek Pusat Pemprosesan Getah Berkelompok melalui pakej teknologi pemprosesen getah krip dan serum getah bersepadu yang telah dibangunkan Lembaga Getah Malaysia (LGM).
2. Pengenalan Pusat Pemprosesan Getah Berkelompok kepada sektor huluan industri getah dilihat dapat membantu pekebun kecil dalam memasarkan hasil pengeluaran getah mereka dengan harga yang berpatutan. Ini merupakan komitmen YB Menteri dan KPPK untuk memastikan pekebun kecil getah memperoleh harga yang sewajarnya dan meraih pendapatan yang setimpal dengan usaha mereka.
3. Melalui projek ini, rantaian nilai bersepadu bekalan getah berskala komersial dengan elemen pemprosesan berkelompok (kluster) dan perkongsian keuntungan (profit-sharing) akan dilaksanakan pada peringkat pekebun kecil, koperasi dan juga usahawan. Usaha ini akan meningkatkan kualiti getah yang dihasilkan, meningkatkan pendapatan dan seterusnya menjamin bekalan getah berkualiti kepada industri pembuatan produk getah negara. Ini seterusnya akan dapat mengekalkan daya saing industri getah sebagai peneraju pengeluar getah dan produk getah berkualiti di peringkat global.
4. Bagi merealisasikan usaha ini, KPPK akan mempertimbangkan dana awal untuk projek ini sebanyak RM6 juta melalui agensi kementerian iaitu Majlis Getah Malaysia (MRC), yang akan bekerjasama dengan LGM untuk melaksanakan projek tersebut.
5. KPPK menyarankan agar pekebun kecil yang berminat untuk menyertai projek ini menubuhkan koperasi getah di kawasan masing-masing. Ia sebagai persediaan awal seperti mana dirancang untuk pelaksanaan sepenuhnya pada tahun 2021.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
1 November 2020
