
KENYATAAN MEDIA
KPPK, MPOA SUMBANG PERALATAN DAN BARANGAN KESIHATAN BERNILAI LEBIH RM5 JUTA KEPADA BARISAN HADAPAN KKM
1. Sektor perladangan dan industri sawit negara sentiasa prihatin dalam usaha kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membendung penularan wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara dan seluruh dunia ketika ini.
2. Sebagai tanda sokongan berterusan dan meringankan beban kerajaan, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) hari ini menyumbangkan seunit ICU Ventilator model Elisa bernilai RM120,000 dan pelitup muka sebanyak 20,000 helai menjadikan jumlah nilai keseluruhan sumbangan adalah RM140,000.
3. Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dengan disaksikan oleh Pengarah Pentadbiran dan Perhubungan Kerajaan, MPOA, YBrs. Encik Ramzuz Mohd Rashid kepada Pengarah Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), YBhg. Dr. Zaleha binti Md. Noor.
4. MPOA sebelum ini telah menubuhkan Tabung COVID-19 pada peringkat awal penularan wabak berkenaan dalam usaha menyalurkan sumbangan bagi membantu dan menyokong usaha kerajaan serta KKM daripada sektor perladangan dan industri sawit negara.
5. Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP), MPOA melalui KPPK telah menyumbang berupa peralatan perubatan seperti Ventilator, Kit Ujian COVID-19, sanitasi tangan, pelitup muka, barangan kesihatan dan beg makanan kepada KPPK selain beberapa buah hospital di bawah KKM seperti Hospital Kuala Lumpur (10 April 2020), Hospital Serdang (26 Mac 2020), Hospital Selayang (4 Ogos 2020) dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu Kelantan (13 September 2020) yang kesemuanya bernilai RM5.234 juta.
6. KPPK, MPOA dan NGO berharap akan lebih banyak lagi sumbangan dapat disalurkan kepada organisasi-organisasi yang lebih memerlukan dan seterusnya dapat membantu pihak hospital membendung penularan serta merawat pesakit COVID-19 di negara ini.
YB DATO' DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Seremban, Negeri Sembilan
15 Oktober 2020
