
KENYATAAN MEDIA
DASAR PENGGUNAAN PKC PROSPEK BAHARU
LONJAK INDUSTRI TERNAKAN NEGARA
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah mengenal pasti Dedak Isirung Sawit (PKC) mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan di negara ini. PKC boleh digunakan secara meluas di dalam industri makanan haiwan memandangkan kelebihannya dari sudut kandungan nutrien dan kos yang kompetitif.
2. Berdasarkan kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam penyediaan makanan haiwan, kos penggunaan PKC berbanding rumusan konvensional mampu dijimatkan sebanyak 15.42 peratus dengan nilai RM83.75 juta bagi sektor ruminan dan 22.53 peratus dengan nilai RM182.18 juta bagi sektor unggas pada tahun 2019. Kelebihan tersebut iaitu dari sudut penjimatan kos dijangka akan melonjakkan industri ternakan negara.
3. Dalam hal ini, KPPK sedang menyediakan Dasar Penggunaan PKC sebagai langkah untuk memastikan industri tersebut berkembang selain bagi menjamin bekalan berkenaan di dalam negara. Dasar ini juga penting bagi memastikan kawal selia PKC dari sudut pengeluaran dan penggunaannya adalah stabil. Untuk itu, satu mekanisme berdasarkan kuota bagi tujuan eksport akan diperkenalkan bagi menjamin produk ini sentiasa terdapat di pasaran tempatan.
4. Pasaran Malaysia hanya memerlukan bekalan PKC sebanyak 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluarannya. Sehingga Jun 2020, pengeluaran PKC adalah sebanyak 1,165,588 tan dinggarkan bernilai RM686.7 juta berdasarkan harga purata selama enam bulan iaitu RM556 setiap tan. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,199,912 tan PKC bernilai RM667.8 juta telah dieksport antaranya ke New Zealand, Pakistan, Korea Selatan, China, Arab Saudi, Australia dan lain-lain negara.
5. KPPK akan terus menguar-uarkan secara meluas tentang kelebihan PKC dalam penyediaan makanan haiwan terutama kepada penternak ruminan. KPPK melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan bekerjasama dengan MARDI dan lain-lain agensi berkaitan untuk melaksanakan promosi bagi meningkatkan permintaan PKC.
6. Selain itu, MPOB dengan kerjasama pihak swasta juga telah membangunkan PKC Premium (PURAFEX) yang terhasil dengan menggunakan PURAFEX sebagai bahan asas sesuai sebagai makanan kepada ayam dan itik. PURAFEX yang dihasilkan menggunakan PKC mempunyai kandungan nutrisi tinggi selain tawaran pilihan harga yang lebih murah. Ia dapat dihadam bukan sahaja oleh haiwan ruminan malah boleh dimakan oleh unggas selain dapat mengurangkan kebergantungan bahan asas import seperti jagung dan soya.
7. KPPK berharap agar usaha yang sedang dan akan dilaksanakan oleh MPOB dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan dapat membantu perkembangan dan permintaan PKC terutama bagi pasaran tempatan dan seterusnya melonjakkan industri PKC negara.
YB DATO' DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
11 Oktober 2020
