
KENYATAAN MEDIA
MALAYSIA SEDIA BANTU NIGERIA KEMBANGKAN
PASARAN PRODUK HALAL AGRIKOMODITI
________________________________________
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali semalam menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Ekspo Maya Halal Dunia dan Siri Webinar 2020 yang antara lain memfokuskan kepada industri halal dunia yang kini bernilai kira-kira AS$2.3 trilion (RM9.57 trilion) dan kaitannya dengan produk-produk agrikomoditi.
2. Industri halal bukan sekadar membabitkan segmen makanan dan minuman dalam masyarakat malah meliputi produk hiliran komoditi seperti coklat, sarung tangan getah, produk minyak sawit, kosmetik dan pelbagai lagi.
3. Pasaran halal telah muncul sebagai komponen progresif dalam ekonomi global hari ini dengan peningkatan pengguna Muslim dan bukan Muslim setiap tahun. Industri ini akan menjadi amat berdaya saing dalam dunia perniagaan antarabangsa selain memiliki tahap standard kualiti yang tinggi atau elemen 'thoyyiban' yang menjadi unsur penting dalam Islam.
4. Kadar pertumbuhan tahunan industri berkenaan adalah sebanyak 20 peratus menjadikan ia adalah perniagaan yang berkembang pesat di dunia. Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia di mana pembangunan industri halal disokong oleh kerajaan selain menggalakkan sinergi kerjasama antara sektor swasta dan sektor awam.
5. Pasaran halal tidak hanya berkembang di negara-negara majoriti umat Islam, tetapi juga di negara-negara majoriti bukan Islam termasuk China, Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Nigeria yang merupakan antara negara dengan penduduk Islam terbesar di dunia selepas Indonesia, sememangnya memiliki pasaran halal yang kian berkembang dari segmen makanan meneroka ke bidang baharu seperti logistik, fesyen, kosmetik, perbankan Islam, rantaian bekalan dan banyak lagi.
6. Lebih banyak syarikat kini memenuhi pasaran Muslim dengan menghasilkan barangan halal. Kini masa yang tepat untuk Malaysia bekerjasama dengan Nigeria bagi membangunkan Hab Perniagaan Halal di negara itu untuk menghasilkan produk halal, pensijilan makanan halal, pengurusan makanan halal dan banyak lagi. Ini adalah contoh terbaik untuk menjalinkan hubungan global dalam perkembangan industri halal di seluruh dunia dan ummah secara keseluruhan.
7. Dalam konteks kerjasama Malaysia dan Nigeria, negara dari Afrika itu akan dapat mengambil perspektif yang berbeza mengenai trend semasa industri halal global terutama membabitkan produk berasaskan agrikomoditi. Dengan 50 peratus penduduk Islam di negara itu, Nigeria bertanggungjawab untuk menjaga sebilangan besar pengguna halal tempatan mereka.
8. Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersedia untuk membantu Nigeria khususnya membabitkan produk-produk halal berasaskan agrikomoditi keluaran tempatan bagi mengembangkan lagi pasaran produk halal di negara itu.
YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
Putrajaya
1 Oktober 2020
