
KENYATAAN MEDIA
PEMBANGUNAN INDUSTRI BULUH SEBAGAI PROGRAM
'GAME CHANGER' DALAM RMK-12
1. Malaysia akan menyambut Hari Buluh Sedunia 2020 (WBD2020) pada 4 Oktober ini yang akan disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali di Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC), Kuala Berang, Terengganu. WBD2020 disambut pada hari ini di peringkat antarabangsa.
2. Sempena sambutan peringkat kebangsaan itu, satu memorandum perjanjian (MoA) di antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan TTITC akan dimeterai untuk Pembangunan Model Ladang Buluh di Terengganu yang akan dijadikan sebagai pusat rujukan model ladang buluh di Malaysia. Selain itu, pelbagai program telah dirancang sempena sambutan berkenaan iaitu:-
i. Kursus Pembuatan Gazebo Buluh (30 September hingga 5 Oktober 2020)
ii. Majlis sambutan WBD 2020 Peringkat Malaysia (4 Oktober 2020)
iii. 3 Sesi Bamboo Talk (4 Oktober 2020)
iv. Pameran dan demonstrasi produk berasaskan buluh (4 Oktober 2020)
v. Seminar Potensi Buluh di Kota Bharu, Kelantan (24 Oktober 2020)
3. Buluh memiliki tempoh matang yang singkat iaitu sekitar tiga sehingga lima tahun sahaja berbanding tempoh matang pokok kayu yang memerlukan sekurang-kurangnya 15 tahun. Jika pembangunan ladang buluh dapat diusahakan dan diuruskan secara mampan, ia mampu menjadi salah satu sumber pendapatan baharu kepada pertumbuhan ekonomi negara. Dalam hal ini, MTIB telah menyenaraikan buluh sebagai salah satu spesies di dalam Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH).
4. Malaysia mempunyai hutan hujan tropika yang kaya dengan flora dan fauna termasuk spesies buluh. Dianggarkan terdapat sebanyak 58 juta rumpun buluh meliputi taburan kawasan seluas kira-kira 329,000 hektar dengan komposisi 45 peratus di Sarawak, 31 peratus di Semenanjung dan 24 peratus di Sabah. Negara kita mempunyai lebih kurang 59 spesies dan 10 genera buluh, dengan 45 daripadanya merupakan spesies tempatan yang tumbuh secara semula jadi di kawasan hutan.
5. YB Dato' Dr. Mohd Khairuddin akan terus memberi penekanan ke atas pembangunan industri buluh sebagai program 'game changer' dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) termasuk Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2021-2025 yang sedang dibangunkan dengan mengambil kira pandangan daripada semua pihak.
6. Kementerian melalui MTIB akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan terutama industri dalam pembangunan buluh secara komersial. Konsep perkongsian bijak akan diberi perhatian dan bersedia untuk memberi khidmat nasihat kepada pihak yang berminat dalam industri.
7. Dalam hal ini, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan oleh kementerian bagi merancakkan pembangunan industri di Malaysia seperti berikut:
i. Menyenaraikan spesies buluh di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) dengan menawarkan pinjaman mudah kepada pihak industri yang berminat dan ianya merangkumi semua spesies buluh yang boleh dibangunkan melalui perladangan.
ii. Membangunkan piawaian antarabangsa berkaitan buluh dan produk buluh.
iii. Menjalankan kerjasama R&D dengan institusi penyelidikan serta beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam pembangunan produk berasaskan buluh seperti venir, papan laminasi dan arang.
iv. Menjalankan promosi seperti penganjuran Hari Buluh Sedunia, seminar dan latihan yang melibatkan peserta tempatan dan luar negara.
v. Membina infrastruktur dan bangunan ikonik berasaskan buluh dengan kerjasama Kerajaan dan swasta seperti Masjid Buluh di Kuala Kangsar, Perak dan Gua Musang, Kelantan, Bamboo Playhouse di Lake Garden, Kuala Lumpur serta Bamboo Village di Hulu Langat, Selangor.
vi. Membangunkan sebuah replika bangunan buluh ikonik di Kuala Nerus, Terengganu yang dijangka siap Jun 2021 termasuk Manual Aplikasi Buluh Dalam Industri Pembinaan untuk pihak industri.
vii. Merancang dan membina Pusat Tapak Semaian Buluh serta makmal tisu kultur buluh di Lahat, Perak.
viii. Merancang dan melaksanakan Projek Model Ladang Buluh serta Plot Kajian & Penyelidikan Buluh di Terengganu, bermula pada 2021 – 2025.
ix. Menjalankan program roadshow di negeri-negeri terpilih untuk mempromosikan perladangan dan industri buluh sebagai salah satu sumber pendapatan baru.
x. Meneruskan program-program pembangunan industri buluh dalam Rancangan Malaysia Kedua belas (RMKe-12).
YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
Putrajaya
18 September 2020
