
KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI KAJI BANTUAN KEPADA PEKEBUN KECIL DAN CADANGAN AKTIVITI YANG BERPOTENSI MENINGKATKAN PENDAPATAN
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali semalam menerima kunjungan delegasi Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) yang diketuai Presiden PKPKM, Dato’ Aliasak Ambia bagi meningkatkan kerjasama dalam membantu dan membela nasib pekebun kecil di seluruh negara.
2. Dalam pertemuan itu, PKPKM telah menyuarakan keluhan pihak pekebun kecil yang terkesan akibat perubahan dasar Kerajaan terdahulu berkaitan bantuan tanaman semula sawit yang telah ditukar daripada geran kepada bentuk pinjaman. Sehubungan itu, pelaksanaan semula Skim Bantuan Tanam Semula adalah disarankan dalam usaha membantu golongan pekebun kecil yang kebanyakannya sudah berumur dan tidak lagi mampu menanggung bebanan hutang.
3. Selain daripada itu, pihak persatuan juga telah mengemukakan beberapa cadangan yang boleh meningkatkan pendapatan melalui tanaman integrasi, penubuhan koperasi dan latihan yang diperlukan oleh pekebun kecil. Cadangan ini adalah bertepatan memandangkan Kementerian turut memberi tumpuan dan penekanan kepada usaha-usaha pemerkasaan pekebun kecil. Koperasi adalah langkah terbaik dan akan menjadi peneraju kepada pekebun kecil sekiranya diurus tadbir dengan baik melalui penglibatan golongan muda yang berkelayakan. Ia juga boleh menjadi jambatan bagi menarik lebih ramai terlibat dalam sektor agrikomoditi.
4. Semua syor dan perkara berbangkit yang dikemukakan akan dikaji serta diteliti bagi menghasilkan keputusan yang terbaik untuk golongan pekebun kecil dan kedua-dua pihak diharap dapat berganding bahu dalam usaha KPPK mencapai matlamatnya iaitu untuk membantu rakyat termasuk menarik lebih ramai golongan muda supaya terus menyumbang kepada kelestarian dan kemampanan ekonomi negara.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
25 Jun 2020
