BERITA SAWIT 2024

TAIPING: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan mengumpul data berkaitan kos yang terbabit daripada semua pemain industri minyak sawit di negara ini sebelum cadangan semakan semula levi keuntungan luar biasa (WPL) ke atas minyak sawit dihantar kepada Kementerian Kewangan (MOF).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata cadangan terbabit akan dihantar kepada MOF sebelum pembentangan Belanjawan 2025.

"Kita buat satu purata dan melihat sama ada kos untuk mengeluarkan satu tan minyak sawit mencecah RM3,000. Jika harga pasaran CPO (minyak sawit mentah) tidak mencecah RM3,500, takkan kita nak panggil WPL?

"Sekarang kos sudah meningkat. Sebelum bajet (cadangan diserahkan kepada MOF)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang Kali Ke-36 Tahun 2024 di sini hari ini.

Pada Khamis lalu, Johari dilaporkan berkata, harga minyak sawit akan menjadi tidak kompetitif berbanding negara-negara pengeluar lain jika WPL ke atas minyak sawit di negara ini tidak disemak semula.

Sebelum ini, KPK sudah meneliti isu levi keuntungan luar biasa yang dibangkitkan oleh penggiat industri selain turut mengadakan perundingan dengan pihak berkaitan.

Kadar WPL sebanyak tiga peratus dikenakan terhadap harga minyak sawit melebihi RM3,000 satu tan di Semenanjung Malaysia dan melebihi RM3,500 satu tan di Sabah dan Sarawak.

 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/07/1267896/cadangan-berkaitan-wpl-minyak-sawit-dihantar-ke-mof-sebelum

 

Sumber : Berita Harian

KLANG - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan tumpahan minyak di pintu air Jalan Tangki, Pelabuhan Klang di sini yang datang dari sebuah kilang penyimpanan minyak sawit.

LUAS dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian berpunca daripada kebocoran paip hos di premis berkenaan yang menyebabkan tumpahan minyak masuk ke dalam longkang seterusnya mengalir ke parit berhampiran.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan semakan LUAS di tapak, tiada aliran minyak memasuki Sungai Aur susulan penutupan pintu air di lokasi.

"Premis terbabit telah menghentikan operasi dan melaksanakan pembaikan paip hos tersebut.

"LUAS telah mengarahkan pihak premis untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penyedutan sisa tumpahan di kawasan terlibat," kata kenyataan itu di Facebook.

Tambah kenyataan itu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga telah memasang oil boom di parit terlibat bagi mengawal tumpahan.

Selain itu kata kenyataan itu, LUAS telah melakukan pensampelan kualiti air yang telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis lanjut bagi tindakan penguatkuasaan.

"LUAS akan mengambil tindakan lanjut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 79, Enakmen LUAS 1999 di atas kesalahan mencemarkan sumber air," kata kenyataan itu.

Menerusi perkongsian sama, LUAS mengingatkan pihak Industri memastikan keselamatan, penyelenggaraan peralatan serta kelengkapan di premis dikawal dan berada dalam keadaan sempurna agar tiada risiko kepada sumber air terutamanya sungai.

Tegasnya, kerajaan negeri, LUAS dan agensi berkaitan tidak akan berkompromi serta akan mengambil tindakan tegas terhadap kecuaian pihak yang menimbulkan permasalahan mencemarkan sumber air.

 

https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/673609

 

Sumber : Sinar Harian

Baru Tahu, Ni Sebab ‘Excavator’ Hiris Pokok Sawit Jadi Kepingan Kecil

 

Kebiasaannya, kita sering melihat kaedah penebangan dan penumbangan pokok menggunakan jentera jengkaut, bukan?

Kemudian, batang-batang pokok ini akan dibersihkan sama ada dibawa oleh lori atau dilonggokkan di satu tempat oleh jentera berat ini.

Namun, pernahkah anda melihat jengkaut seperti seolah-olah menghiris batang pokok menjadi kepingan kecil?

Baru-baru ini, tular satu klip yang dimuat naik oleh pemuda di platform X mendedahkan proses itu dan menimbulkan persoalan ramai.

Kenapa Hiris Batang Pokok ?

 

Dalam video yang di kongsikan semula oleh pemilik akaun X @stargazedkhai, memaparkan batang pokok kelapa sawit dipotong menjadi kepingan kecil.

Sebenarnya, kaedah ini dikenali sebagai kaedah 'chipping bucket' seperti yang dimaklumnya.

Kaedah ini bertujuan untuk mengelakkan kumbang membiak dan merosakkan anak pokok kelapa sawit sewaktu penanaman semula.

"Untuk pengetahuan semua, ni chipping (kaedah) untuk pokok sawit supaya kumbang tidak membiak dan makan anak pokok semasa replanting," tulisnya.

Apa itu Kaedah Chipping Bucket?

 

Chipping Bucket atau proses pemotongan ini bertujuan untuk mengecilkan saiz batang dan dahan kelapa sawit supaya proses reput dapat berlaku dengan lebih cepat.

Selain itu, manfaat daripada proses ini adalah mampu mengelakkan haiwan perosak dan penyakit daripada membuat sarang d bahagian pokok yang telah ditebang.

Menurut Oil Palm Pal, mana-mana pokok kelapa sawit tua yang tidak lagi dimahukan akan ditumbangkan. Bagaimanapun, ia perlu ditumbangkan termasuk akar pokok perlu dibuang.

Hal ini kerana, anak sawit baharu berpotensi dijangkiti serangan perosak jika akar pokok lama tidak dibuang.

Kemudian, pokok yang ditumbangkan akan dicincang menjadi kepingan sebelum dijemur di bawah cahaya matahari.

Serangan Haiwan Perosak Sawit

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), anak sawit mudah terdedah kepada pelbagai jenis perosak yang menyerang pada peringkat awal penanaman.

Lazimnya, ia disebabkan oleh  dua jenis perosak iaitu serangga dan haiwan mamalia.

Antara serangga perosak ini termasuklah kumbang kaboi, kumbang, badak, anai-anai dan belalang, manakala perosak haiwan mamalia pula adalah tikus, landak, babi hutan, monyet dan gajah.

 

https://siakapkeli.my/2024/03/12/baru-tahu-ni-sebab-excavator-hiris-pokok-kelapa-sawit-jadi-kepingan-kecil/

 

Sumber : Siakap Keli

KUALA LUMPUR: BMI Country Risk & Industry Research (BMI), produk di bawah Fitch Solutions Group Ltd telah membuat semakan menaik kepada unjuran untuk harga purata kontrak niaga hadapan minyak sawit bulan ketiga yang disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2024 kepada RM3,750 satu tan berbanding RM3,515 satu tan sebelum ini.

BMI melalui satu kenyataan berkata ini sebahagiannya, mencerminkan pengukuhan harga berterusan yang bermula pada suku ketiga 2023, yang menyaksikan kontrak itu meningkat sebanyak 23.2 peratus antara permulaan Jun dan permulaan September.

Pada masa yang sama, harga minyak sawit diniagakan lebih kurang dalam jajaran lima peratus daripada RM3,851 satu tan (+/- RM193 satu tan) sejak pertengahan 2022.

Semakan semula unjuran itu, bagaimanapun, menunjukkan penurunan harga daripada paras semasanya hingga 2024, dengan kontrak sawit telah didagangkan pada paras purata RM3,830 setan sehingga 14 Februari 2024.

"Dalam jangka pendek, kami menganggap harga minyak sawit dihadkan berdasarkan trend harga dalam kompleks minyak makan yang lebih luas, jangkaan bagi penuaian kacang soya yang lebih besar di pengeluar utama termasuk permintaan yang lemah di China.

"Lebih-lebih lagi, kesan El Niño, yang dijangka akan berkurangan antara April serta Jun 2024, terhadap keadaan penanaman di Indonesia dan Malaysia dianggap tidak ketara," kata BMI.

Sementara itu, jangkaan peralihan kepada keadaan La Niña antara Jun dan Ogos 2024 boleh mempengaruhi sentimen pasaran, menguji sokongan harga.

BMI berpendapat, purata harga minyak sawit akan menyusut pada 2025 berbanding 2024, mencerminkan asas yang tinggi serta potensi La Niña dalam menyokong penanaman kelapa sawit, tetapi pada masa yang sama telah membuat semakan menaik pada harga ramalannya, kini mengunjurkan bahawa kontrak itu akan didagangkan pada paras purata RM3,500 satu tan.

Bagaimanapun, ia juga mengukuhkan unjuran harganya untuk memperlihatkan kemerosotan dalam kadar pertumbuhan eksport minyak sawit di Indonesia dan Malaysia, yang mencerminkan komitmennya terhadap mandat campuran biodiesel domestik yang lebih tinggi serta peralihan dalam pemacu pertumbuhan pengeluaran kelapa sawit di kedua-dua pasaran.

"Pada pandangan kami, pasaran minyak sawit dunia akan menyaksikan lebihan pengeluaran sebanyak dua juta tan menjelang musim 2023/24, paras terendah dalam tiga musim.

"Kami menjangkakan lebihan ini akan bertambah sehingga jangka sederhana, dengan kemungkinan lebihan 2.5 juta tan metrik menjelang musim 2024/25 dan peningkatan musim ke musim sebanyak 0.2 hingga 0.3 juta tan metrik selepas itu," katanya.

Dari segi harga, ia mengekalkan harga purata minyak sawit tahunan akan menurun sepanjang tempoh ramalannya, mengunjurkan harga purata RM3,400 setan pada 2026, RM3,300 setan pada 2027 dan RM3,205 satu tan pada 2028.

Faktor risiko kepada prospeknya termasuk pembangunan dasar biodiesel, evolusi harga minyak makan alternatif dan usaha pengeluaran yang mampan.

-BERNAMA

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/02/1214863/bmi-semak-naik-harga-minyak-sawit-kepada-rm3750-satu-tan

 

Sumber : Berita Harian

KUALA LUMPUR – Kerajaan tiada perancangan untuk menguatkuasakan semula Program Tanam Semula Sawit (TSPKS) secara geran, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Chan Foong Hin.

Beliau berkata, kerajaan bagaimanapun memperuntukkan RM100 juta secara hibrid dalam bentuk 50 peratus geran dan 50 peratus pinjaman untuk melaksanakan TSPKS 2.0 bagi tahun 2024.

“Dianggarkan seramai 1,500 pekebun kecil sawit yang akan menerima manfaat daripada program ini meliputi keluasan tanam semula sebanyak 5,900 hektar.

“Sehingga 12 Julai 2024, seramai 413 pekebun kecil dengan keluasan tanaman 1,725 hektar melibatkan nilai pembiayaan sebanyak RM26.93 juta telah diluluskan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) sama ada kementerian mempunyai perancangan untuk menguatkuasakan semua TSPKS yang dahulunya pinjaman menjadi geran.

Terdahulu, Foong Hin memaklumkan, sehingga Mac 2024, seramai 441,847 bilangan pekebun kecil sawit di Malaysia iaitu pekebun kecil tersusun seramai 233,439 dan persendirian seramai 208,408.

Menurut beliau, hanya pekebun kecil persendirian sahaja yang layak untuk menikmati bantuan inisiatif Tanam Semula Sawit.

Jelas beliau, program itu bertujuan mempercepatkan aktiviti tanam semula pokok sawit tua dan tidak lagi produktif dalam kalangan pekebun kecil.

“Seterusnya, mengelakkan kerugian hasil komoditi sawit kepada negara dalam tempoh jangka masa panjang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

https://www.kosmo.com.my/2024/07/15/dewan-rakyat-tiada-lagi-program-tanam-semula-sawit-secara-geran/#google_vignette

 

Sumber : Kosmo