KENYATAAN MEDIA LARANGAN EKSPORT MINYAK SAWIT INDONESIA BUKA PELUANG UNTUK INDUSTRI SAWIT NEGARA
1. Pengusaha ladang kelapa sawit dan pengeluar minyak sawit di Malaysia harus berganding bahu bagi merebut peluang yang wujud selepas keputusan Indonesia untuk menghentikan eksport minyak sawit. Sebagai pengeluar minyak sawit yang terbesar di dunia, Indonesia menetapkan larangan ini untuk menurunkan harga komoditi dan seterusnya mengatasi kekurangan bekalan domestiknya.
2. Walaupun Malaysia bersimpati dengan situasi yang telah menjejaskan industri minyak sawit Indonesia, namun ini adalah satu kesempatan yang perlu digunakan oleh industry minyak sawit Malaysia. Memandangkan terdapat kekaburan tentang jangka masa larangan ini akan berkuatkuasa, industri minyak sawit negara perlu segera meningkatkan keupayaan inovasi sambil meneroka strategi yang terbaik untuk memenuhi permintaan pasaran dunia.
3. Negara India mengimport antara 13.0 dan 13.5 juta tan metrik minyak masak dengan import minyak sawitnya merangkumi antara 8.0 juta dan 8.5 juta tan metrik (63%). India yang juga merupakan konsumer terbesar minyak sawit Indonesia, dengan hampir 45% daripada kuantiti ini datang dari negara jiran kita manakala selebihnya diperoleh dari Malaysia.
4. Larangan eksport ini juga secara tidak langsung mengetatkan lagi pasaran global minyak masak akibat konflik antara Rusia dan Ukraine dan isu pemanasan global. Harga sawit, kacang soya, minyak rapeseed Eropah dan minyak kanola kini juga berada pada paras tertinggi dalam sejarah. Meskipun secara logiknya, Malaysia patut menjadi benefisiari sebagai pengeksport kedua terbesar minyak sawit selepas Indonesia, terdapat keraguan sama ada Malaysia mampu menghadapi pelbagai cabaran dan kekangan untuk meningkatkan pengeluaran.
5. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) kekal optimistik dalam memenuhi permintaan global yang semakin meningkat ketika kemungkinan cabaran isu kekurangan pekerja masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya. Berdasarkan analisis dan unjuran trend pasaran, KPPK yakin Malaysia mempunyai apa yang diperlukan untuk mengisi jurang dalam bekalan global minyak sawit.
6. Memandangkan harga minyak sawit akan kekal tinggi kerana stok yang rendah di negara asal dan destinasi, serta harga yang turun naik, Kementerian yakin industri sawit Malaysia akan mendapat kesan positif meskipun situasi ini dijangka akan berubah sekiranya Indonesia mengkaji semula dasar larangannya sebaik sahaja bekalan domestik dan struktur harganya menjadi stabil. Penganalisis pasaran menjangkakan larangan eksport oleh Indonesia akan ditarik balik pada penghujung suku kedua 2022 (sekitar Julai) dan terdapat kemungkinan Indonesia akan membanjiri pasaran global dengan inventori sawitnya yang terkumpul ketika larangan eksport.
7. Selain itu, Kementerian juga ingin mengingatkan pemain industri sawit negara bahawa terdapat kemungkinan perubahan harga mendadak yang akan berlaku memandangkan industri sawit memasuki tempoh puncak dalam pengeluaran bermusim sekarang. Tambahan pula dengan prospek Korea Selatan yang merupakan salah satu pasaran minyak sawit yang paling pesat berkembang, melepaskan stok simpanannya. Perlu diingati bahawa jika konflik antara Rusia dan Ukraine selesai, terdapat prospek kedua-dua negara ini melepaskan stok minyak rapeseed dan bunga matahari. Mengambil kira risiko-risiko tersebut, industri sawit negara perlu segera mengambil kesempatan daripada keadaan semasa dan bukannya membiarkan peluang tersebut berlalu.
8. Kementerian juga ingin memberi jaminan kepada pemain industri bahawa usaha untuk memenuhi permintaan tenaga kerja asing terutamanya untuk sektor perladangan sedang dilakukan. Pada September tahun lalu, kerajaan telah meluluskan pengambilan 32,000 pekerja asing untuk bekerja di ladang kelapa sawit dan mereka telah mula tiba sejak awal tahun ini. Malaysia kini menjangkakan kumpulan baharu pekerja asing akan tiba pada bulan Mei dan Jun, sekali gus mengatasi masalah tenaga kerja untuk musim menuai buah sawit.
9. Untuk jangkamasa panjang, KPPK mengunjurkan pengeluaran dan eksport minyak sawit akan meningkat sebanyak 30% menjelang akhir 2022. Kementerian berkeyakinan bahawa tahap pengeluaran akan meningkat walaupun pengeluaran minyak sawit berada pada paras yang rendah disebabkan kekurangan pekerja asing pada kemuncak pandemik sejak dua tahun yang lalu berikutan pembukaan semula sempadan negara dan Pelan Pemulihan Negara pasca COVID-19. Justeru, Kementerian yakin tahap pengeluaran akan meningkat dan Malaysia berada di landasan yang betul serta mampu memenuhi permintaan minyak sawit dunia.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi 10 Mei 2022
KENYATAAN MEDIA MIACES BUKA RUANG PEMAIN INDUSTRI AGRIKOMODITI TEMPATAN JANA PENDAPATAN KEPADA NEGARA __________________________________________________________
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini telah menghadiri Majlis Berbuka Puasa sempena Malaysia International Agricommodity & Summit 2022 (MIACES’22) bertempat di Connexion Conference & Event Centre, The Vertical, Bangsar South City, Kuala Lumpur.
2. Majlis ini bertujuan mengumpulkan semua agensi dan majlis di bawah Kementerian yang terlibat dengan program MIACES’22 selain menjalin rangkaian kerjasama antara peserta industri dalam memperkembang eksport produk komoditi negara ke pasaran baharu.
3. Menerusi penganjuran MIACES’22 yang bakal berlangsung pada 26 hingga 28 Julai 2022, Kementerian berhasrat untuk menjadikan ia sebagai platform mempromosi produk komoditi selain menaik taraf produk yang telah sedia ada melalui pelbagai kajian teknologi.
4. MIACES’22 setakat ini telah menerima pengesahan kehadiran lima (5) Menteri dari Bangladesh, Indonesia, Sri Lanka, India, dan Iran hadir serta dijangka beberapa negara lain juga akan hadir. Kehadiran pemimpin tertinggi negaranegara luar bakal membuka ruang perbincangan komprehensif dalam memperkasakan industri agrokomoditi Malaysia. Penganjuran MIACES’22 ini akan membuka ruang kepada pemain industri tempatan untuk menjana pendapatan dan seterusnya meningkatkan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
5. Sejajar dengan pelaksanaan Dasar Agrikomoditi Negara 2030 di bawah Kementerian yang berpaksikan Rancangan Malaysia Ke-12, MIACES’22 merupakan antara inisiatif memastikan sektor agrikomoditi negara terus berkembang dalam negara serta di peringkat antarabangsa.
6. Kementerian yakin jumlah eksport agrikomoditi Malaysia akan terus mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan dalam proses negara beralih daripada fasa pandemik ke fasa endemik COVID-19. Sehingga November 2021, pendapatan eksport agrikomoditi dianggarkan RM189.8 bilion iaitu meningkat 41.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2020 yang mana perubahan ini didorong oleh peningkatan import di negara pasaran utama selain nilai komoditi yang tinggi khususnya membabitkan produk berasaskan sawit.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 14 APRIL 2022
BULUH SEBAGAI PEMBAWA PERUBAHAN SIGNIFIKAN KEPADA INDUSTRI PERKAYUAN NEGARA
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Penubuhan Bamboo One-Stop Centre di antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) serta pihak swasta iaitu Tadom Hill Resort Sdn. Bhd. Bamboo One-Stop Centre ini akan dibangunkan di Tadom Hill Resort Sdn. Bhd. terletak di Banting, Selangor yang akan berperanan sebagai pusat rujukan setempat industri buluh bagi menggalakkan pembangunan industri buluh negara.
Tadom Hill Resort merupakan sebuah pusat penginapan ekopelancongan berkeluasan 45 ekar bertemakan taman buluh yang unik serta dikelilingi kampung Orang Asal dari Suku Temuan. Lokasinya yang strategik merupakan satu kelebihan dan kemudahan bagi menyambut kedatangan pengunjung dalam dan luar negara. Selain ekopelancongan, Tadom Hill juga telah mengambil langkah proaktif menghasilkan produk buluh komersial seperti cuka dan bio-arang buluh (bamboo bio-char). Usaha ini adalah selari dengan hasrat Kerajaan dalam usaha mentransformasi industri buluh bagi peralihan struktur industri kecil-kecilan kepada industri hiliran yang mengeluarkan produk buluh yang bernilai tambah tinggi dan lestari, sebagai antara fokus dalam RMK-12.
Malaysia dianggarkan mempunyai lebih 70 spesies buluh dimana 45 daripada spesies ini merupakan spesies tempatan yang tumbuh secara semulajadi di kawasan hutan. Sehingga kini, terdapat seramai 577 pengusaha yang terlibat secara langsung dalam industri berasaskan buluh di Malaysia merangkumi industri papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan, arang buluh serta kraftangan.
Bamboo One-Stop Centre yang akan dibina ini bakal menjadi pusat maklumat dan rujukan kepada lebih ramai usahawan buluh Malaysia di sepanjang rantaian nilai industri buluh. Di samping itu, pusat rujukan ini akan berperanan sebagai pusat informasi setempat termasuk promosi, penyelidikan dan pembangunan berkaitan industri buluh di Malaysia.
Kementerian melalui MTIB dan MTC akan meneruskan usaha memperkasa pembangunan industri buluh Negara dengan pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif. Kementerian yakin dengan inisiatif seperti program penyelidikan, pembangunan dan galakan yang berterusan, industri buluh berupaya mengoptimakan penggunaan sumber bahan mentah ini sebagai sumber alternatif yang bernilai tambah dalam industri perkayuan dan seterusnya menjadi salah satu bidang agrikomoditi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat dan seterusnya menjana ekonomi negara.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
SIARAN MEDIA KEMENTERIAN KOMITED PERTINGKAT KESEDARAN DAN SOKONGAN AWAM TERHADAP INDUSTRI KOKO NEGARA
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin pada hari ini telah menyempurnakan program Lawatan Kerja ke Muzium Coklat (Choclate Museum) milik DR Group Holdings Sdn. Bhd. (DR Group) yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.
2. Muzium tersebut dilengkapi dengan kemudahan yang terkini. Chocolate Labs, menyediakan peluang kepada pengunjung dan orang awam merasai pengalaman untuk membuat coklat. Projek ini turut memanfaatkan kerjasama DR Group dengan Lembaga Koko Malaysia (LKM) dalam menjalankan kursus satelit asas pembangunan usahawan coklat buatan tangan terutamanya untuk warga negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Perak.
3. DR Group bersama LKM akan melaksanakan tiga (3) projek strategik usahasama dalam masa terdekat untuk memacu pembangunan industri koko dan coklat di Malaysia. Melalui perjanjian persefahaman antara kedua-dua belah pihak yang telah dimeterai pada 22 Jun 2022, DR Group dan LKM telah bersetuju untuk bekerjasama dalam beberapa perkara termasuk pembuatan blok coklat dengan mengoptimakan penggunaan mesin milik LKM untuk menyokong Koperasi Kluster Koko di Semenanjung Malaysia. Selain itu, kerjasama ini dapat menyediakan bekalan blok coklat yang berdaya maju untuk menyokong usahawan-usahawan coklat bimbingan LKM di masa hadapan.
4. Muzium coklat yang berkonsepkan 3E iaitu ‘Pendidikan’ (Education), Pengalaman’ (Experience) dan ‘Keseronokan Membeli Belah’ (Enjoyable Shopping) menyediakan paparan menarik yang bersifat interaktif dan menyeronokkan untuk memberi pengalaman pembelajaran terbaik untuk semua peringkat umur tentang koko dan coklat. Kini, Muzium Coklat menerima lebih dari 2 juta pengunjung atau pelawat sejak pembukaan muzium semenjak tahun 2013.
5. Kementerian menyokong inisiatif yang dilaksanakan oleh LKM bersama DR Group dalam melaksanakan projek strategik bagi pembangunan industri koko. Industri koko mempunyai potensi untuk berkembang dan menjana pendapatan ekonomi negara. Kementerian juga sentiasa komited untuk membantu dan melahirkan usahawan-usahawan industri koko melalui kerjasama seumpama ini, menerusi Program Pembangunan Usahawan Coklat dan Program Promosi Koko dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 23 September 2022
KENYATAAN MEDIA INISATIF KEMAMPANAN MINYAK SAWIT NEGARA SEBAGAI PEMBINA HUBUNGAN PERDAGANGAN LEBIH BAIK DENGAN KESATUAN EROPAH (EU)
1. WALAUPUN Kesatuan Eropah (EU) menentang perdagangan minyak sawit sejak 2003, Malaysia berazam untuk memupuk hubungan baik dengan blok perdagangan itu demi penyelesaian menang-menang untuk industri sawit negara.
2. Ini sedang dilakukan melalui pelbagai platform, antaranya, Kumpulan Kerja Bersama ASEAN-EU, program seminar atau webinar dan dialog serta perbincangan melalui misi promosi ekonomi dan minyak sawit di EU. Malaysia bertekad untuk terus menyalurkan pelbagai maklumat terkini mengenai industri minyak sawit – khususnya dari aspek kesihatan dan pemakanan dan kemampanan, bagi menghapus tanggapan yang salah mengenai minyak sawit dan produk berkaitannya dalam kempen anti-minyak sawit di EU.
3. Sejajar dengan usaha ini, dua inisiatif - program perkongsian Malaysia-EU yang bertujuan untuk meningkatkan kelestarian perdagangan minyak sawit dan kerjasama di bawah Majlis NegaraNegara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) telah dilakukan oleh Kementerian.
4. Di bawah inisiatif perkongsian Malaysia-EU, terdapat dua program yang penting - projek Kelestarian Minyak Sawit Malaysia dan Indonesia, yang juga dikenali sebagai Keberlanjutan Sawit Malaysia dan Indonesia (KAMI); dan Inisiatif Kebangsaan Pekebun Kecil Kelapa Sawit Mampan dan Pintar Iklim (NI-SCOPS) dengan Belanda. Dalam inisiatif CPOPC, Malaysia bekerjasama rapat dengan Indonesia untuk menentang kempen anti-minyak sawit di peringkat global dengan pelbagai program untuk menggagalkan kempen anti-minyak sawit.
5. Antara program penting di bawah CPOPC adalah:
i) Misi bersama ke Eropah di bawah CPOPC dengan penyertaan Malaysia dan Indonesia untuk mengadakan perbincangan dan perundingan dengan EU dalam pengurusan isu berkaitan minyak sawit di Eropah; ii) Menyerahkan surat bantahan secara bersama kepada negara/blok perdagangan yang mendiskriminasi minyak sawit, iaitu EU; dan iii) Pelaksanaan Program Advokasi EU; strategi komunikasi dan promosi di China, Pakistan, India dan Bangladesh serta kempen media sosial di kalangan negara anggota CPOPC.
6. Malaysia dan Indonesia, dua pengeluar minyak sawit terbesar dunia, telah pun menghantar surat bantahan kepada EU pada April 2019 mengkritik keputusan untuk tidak lagi menganggap minyak sawit sebagai biofuel, yang juga mengancam hubungan blok itu dengan kedua-dua negara. Ini berlaku selepas Suruhanjaya Eropah (EC) memutuskan bahawa minyak sawit telah mengakibatkan penebangan hutan yang berlebihan dan ia tidak lagi boleh dianggap sebagai bahan api pengangkutan boleh diperbaharui, kecuali untuk beberapa pengecualian.
7. Perkara ini telah menyebabkan Malaysia mengambil tindakan undang-undang terhadap EU dan dua ahlinya – Perancis dan Lithuania – pada 15 Januari 2021 di bawah Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
8. Tindakan ini diambil berikutan keputusan EU untuk mengklasifikasikan minyak sawit sebagai tanaman yang berisiko tinggi untuk perubahan status guna tanah tidak langsung.
9. EU juga menganggap industri minyak sawit menyumbang kepada penebangan hutan dan kehilangan biodiversiti dan negara-negara EU juga menggunakan European Union Renewable Energy Directive II dalam proses perundangan mereka. Semua ini adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, yang selaras dengan gerakan global untuk memperjuangkan kebaikan minyak sawit.
10. Mengambil kira situasi terkini Ukraine-Rusia dan perubahan cuaca yang menyebabkan kekurangan bekalan minyak soya dan bunga matahari, ini merupakan peluang keemasan untuk Malaysia mempromosikan kebaikan minyak sawit kepada EU agar dapat dapat mengisi kelompangan bekalan minyak masak dunia.
11. Dunia seharusnya meyakini potensi minyak sawit Malaysia kerana inisiatif kemampanan minyak sawit negara. Ini dilakukan menerusi pelbagai kempen berterusan Kementerian yang giat dilaksanakan bagi mempertahankan imej minyak sawit yang memiliki reputasi harga komoditi yang tinggi selain situasi pengeluaran minyak masak dunia yang tidak stabil buat masa ini.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 27 Jun 2022