KENYATAAN MEDIA SUMBANGAN KEPADA PETUGAS BARISAN HADAPAN UNTUK MEMERANGI COVID-19
1 APRIL 2020
1. Industri getah merupakan antara 6 sektor komoditi utama di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yang telah menyumbang eksport negara sebanyak RM30.9 billion pada tahun 2019.
2. Antara produk yang dihasilkan adalah sarung tangan (gloves), justeru seiring dengan usaha kerajaan, KPPK turut bersama meringankan beban petugas barisan hadapan (frontliner) dengan sumbangan sebanyak 2.5 juta sarung tangan getah kepada Kementerian Dalam Negeri untuk diagihkan kepada semua agensi di bawahnya.
3. Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali juga bersetuju memperuntukan sejumlah sejuta sarung tangan kepada petugas Jabatan Bomba dan Penyelamat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
4. Tidak ketinggalan juga Angkatan Tentera Malaysia di bawah Kementerian Pertahanan akan menerima sumbangan sejuta sarung tangan getah yang akan diserahkan pada 2hb April 2020.
5. KPPK berharap sumbangan berkenaan mampu melancarkan lagi tugas penguatkuasaan anggota keselamatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) sekaligus mampu menghentikan wabak COVID-19.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi PUTRAJAYA 1 April 2020
KENYATAAN MEDIA SUMBANGAN KEPADA PETUGAS BARISAN HADAPAN UNTUK MEMERANGI COVID-19
3 APRIL 2020
1. Pada 3 Mac 2020, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) telah menerima kunjungan Persatuan Pekilang Papan Lapis Malaysia (MPMA) di bawah industri komoditi perkayuan.
2. Perjumpaan tersebut adalah kunjungan hormat kepada Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di samping memberikan sumbangan kewangan dalam usaha memerangi COVID-19.
3. MPMA memberikan sumbangan kewangan berjumlah RM500,000 menerusi MPIC untuk disampaikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, petugas barisan hadapan dan kepada rakyat yang terjejas menerusi pusat khidmat wakil rakyat dan NGO.
4. Sumbangan berkenaan adalah kutipan daripada 78 ahli/pekilang di bawah MPMA seluruh Malaysia dengan jumlah anggaran seramai 120,000 orang pekerja yang menghasilkan nilai eksport papan lapis berjumlah RM3.4 bilion pada tahun lepas. Antara pengimport papan lapis ini adalah Jepun, Timur Tengah, Amerika Syarikat, Eropah dan lain-lain negara.
5. MPIC berharap sumbangan daripada MPMA mampu meringankan lagi beban Kementerian Kesihatan Malaysia dan petugas barisan hadapan, sekaligus mampu menghentikan wabak COVID-19.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi PUTRAJAYA 3 April 2020
Lampiran Maklumat MPMA Persatuan Pengkilang Papanlapis Malaysia 19D 19th floor, PGRM, Pudu Ulu, Cheras, KL
Senarai delegasi MPMA 1. Datuk Wira Sheikh Othman Rahman Pengerusi MPMA 2. Datuk Chua Hock Gee Timbalan Pengerusi MPMA 3. Encik Hoh Cheon Fatt @ Ho Khoy Lim Ketua Projek 4. Encik Tan Chong Yin Setiausaha Eksekutif 5. Encik Cheong Hok An Bendahari Persatuan
KENYATAAN MEDIA KEMENTERIAN MOHON PERTIMBANGKAN KEPUTUSAN MENUTUP KESELURUHAN OPERASI LADANG DAN KILANG SAWIT ENAM DAERAH DI SABAH
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) ingin menarikperhatian berhubung laporan Bloomberg pada 7 April 2020 mengenai kenyataanKetua Menteri Sabah semasa temubual dalam Buletin Utama TV3 pada 2 April 2020 untuk meneliti semula dan memberi kata putus terhadap penutupan operasi ladang dan kilang sawit di enam daerah di Sabah. Keputusan itu dijangka akan diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah selepas Mesyuarat Kabinet Negeri pada 8 April 2020.
2. KPPK sememangnya mengalu-alukan dan menyambut baik langkah tegas yang diambil oleh Kerajaan Negeri Sabah dalam membendung penularan wabak COVID-19 di Negeri Sabah terutama di kawasan-kawasan yang terlibat. Pada masa yang sama, KPPK juga yakin bahawa solusi yang terbaik akan diambil oleh Kerajaan Negeri Sabah demi kepentingan sosio-ekonomi semua pihak yang terlibat.
3. Dalam hal ini, KPPK berpandangan kenyataan oleh Persatuan Minyak SawitMalaysia (MPOA) dan Persatuan Pemilik Ladang Sawit Malaysia (MEOA) pada 7 April 2020 bahawa penutupan operasi ladang dan kilang sawit akan memberi implikasi ke atas sosio-ekonomi masyarakat Sabah mempunyai meritnya dan wajar dipertimbangkan semula oleh Kerajaan Negeri Sabah berdasarkan kes demi kes. Kementerian menyokong penutupan ladang dan kilang sawit dihadkan kepada ladang dan kilang sawit yang pekerjanya disahkan positif COVID-19.
4. Langkah penutupan operasi ladang dan kilang sawit bukan sahaja memberi implikasi dari aspek ekonomi dan sosial kepada pekerja dan pemilik ladang dan kilang sawit, malah turut memberi kesan kepada hasil pendapatan, khususnya negeri Sabah dan negara secara amnya. Kutipan hasil daripada sektor perladangan sawit adalah amat diperlukan oleh Kerajaan Negeri Sabah dalam membiayai program membendung penularan wabak COVID-19 dan juga memberi bantuan secara langsung kepada rakyat Negeri Sabah yang terjejas semasa danselepas Perintah Kawalan Pergerakan.
5. Selain itu, penutupan operasi ladang dan kilang sawit juga dilihat akan merencatkan dan menjejaskan rantaian pengeluaran bekalan minyak masak untuk keperluan domestik, khususnya di Negeri Sabah.
6. Bagi mengatasi isu ini, pihak Kementerian ingin mencadangkan supaya ladang dan kilang sawit di enam (6) daerah tersebut khususnya bagi kawasan yang tidak terjejas dengan penularan wabak COVID-19 serta jauh di pedalaman dan terasing daripada kawasan yang terkesan dengan wabak tersebut dapat diteruskan. Ladang dan kilang di kawasan ini dicadangkan beroperasi dengan pematuhan sepenuhnya secara lebih ketat langkah-langkah pencegahan dan Standard Operating Procedure (SOP) yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
7. Untuk makluman, KPPK pada 25 Mac 2020 telah pun mengemukakan surat rayuan kepada Ketua Menteri Sabah supaya mempertimbangkan semula perintah penutupan operasi bagi enam daerah yang terlibat. Selain itu Kementerian melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga telah mengemukakan maklumat dan input yang berkaitan kepada pihak Kerajaan Negeri Sabah dengan harapan satu penilaian dan pertimbangan yang sewajarnya dapat dibuat.
8. Dalam pada itu, Kementerian sentiasa menasihatkan kepada kesemua penggiat industri sawit negara untuk sentiasa mematuhi perintah kawalan pergerakan termasuk meminimakan tenaga kerja dan pergerakan pekerja dengan menjaga penjarakkan sosial (social distancing) serta mengamalkan penjagaan kebersihan pada setiap masa.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi 7 April 2020
KERAJAAN NEGERI SARAWAK DAN KERAJAAN PERSEKUTUAN BERSAMA MEMBANTU RINTIHAN PARA PEKEBUN KECIL GETAH
1.Bagi pihak Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), saya mengalu-alukan langkah proaftif Kerajaan Negeri Sarawak yang telah membantu pekebun kecil dengan memberi insentif tambahan RM0.50/kg terhadap harga getah, menjadikan jumlah Insentif Pengeluaran Getah (IPG) meningkat kepada RM1.90/kg. Inisiatif ini sudah tentu akan membantu meringankan bebanan dan meningkatkan pendapatan para pekebun kecil getah di Sarawak. Ini juga membuktikan gandingan kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan benar serius membela nasib rakyat.
2.Untuk makluman masyarakat, RM2.50/kg Cuplump adalah harga pengaktifan IPG oleh Kerajaan Persekutuan. Pada bulan Mac 2020, IPG telah diaktifkan kerana di Sarawak purata harga ladang bulanan Cuplump ialah RM1.80/kg, bermakna pekebun kecil akan dibayar IPG sebanyak RM0.70/kg cuplump (RM2.50-RM1.80 = RM0.70/kg). Oleh kerana cuplump cuma mengandungi 50% kandungan getah kering (KGK), nilai IPG ialah RM1.40/kg cuplump untuk 100% KGK.
3.Kerajaan Sarawak telah membantu pekebun kecil dengan memberi insentif tambahan RM0.50/kg, menjadikan jumlah IPG meningkat kepada RM1.90/kg (100% KGK). Sebagai contoh, jika pekebun kecil menghasilkan 400 kg cuplump (50% KGK) pada bulan Mac, jumlah insentif yang dibayar ialah RM380 berbanding RM280 pada kadar IPG biasa tanpa insentif tambahan dari Kerajaan Sarawak. Tanpa IPG, pendapatan pekebun kecil dari jualan cuplump hanya RM720. Dengan insentif IPG tambahan di Sarawak, pendapatan pekebun kecil ialah RM1,100 (RM720+RM380).
4. Oleh kerana yang sedemikian, saya juga mengesa para pekebun kecil getah yang belum mendaftar kad Permit Autoriti Transaksi – Getah (PAT-G) untuk mendaftar di seluruh Pejabat Pertanian di Negeri Sarawak dan juga mana – mana pejabat Lembaga Getah Malaysia (LGM) supaya mereka boleh mendapat manfaat IPG dan supaya mereka tidak tercicir. Sebarang pertanyaan mereka juga boleh hubungi Talian Hotline LGM di 1-800-888-474 (Isnin-Jumaat) 9.00 pagi-5.00 petang atau 019-602 6001, 019-625 7800 selepas jam 5.00 petang.
YB TUAN WILLIE MONGIN Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi 15 April 2020
UCAPAN PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH KEPADA KERAJAAN NEGERI SABAH
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengalu-alukan keputusan pihak Kerajaan Negeri Sabah dalam memberikan kelonggaran untuk beroperasi secara bersyarat kepada ladang sawit dan kilang sawit di enam (6) daerah di Sabah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kinabatangan, Semporna, Kunak dan Kalabakan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa. Keputusan yang dinanti-nantikan ini sudah semestinya akan disambut baik oleh syarikat perladangan dan kilang sawit di enam daerah tersebut khususnya yang tidak dijangkiti virus COVID-19.
2. Kementerian ini sentiasa bersedia membantu dari segi pemantauan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta komitmen daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan Persatuan Pemilik Ladang Sawit Malaysia (MEOA) dalam memastikan ladang dan kilang sawit di seluruh negeri Sabah mematuhi Panduan Pengoperasian Ladang Semasa Wabak COVID-19 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
3. Kebenaran bersyarat dan panduan pengoperasian yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah hendaklah diberi perhatian serius supaya syarikat perladangan dan kilang sawit dapat terus beroperasi. Kementerian ini juga tidak akan berkompromi ke atas syarikat perladangan, kilang sawit dan kilang penapis minyak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang di dapati melanggar atau tidak mematuhi syarat-syarat seperti ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri sejajar dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara.
YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi 11 April 2020