BERITA AGRIKOMODITI 2023

KUALA LUMPUR, 26 Disember- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini, menjejaki pasaran niaga hadapan getah serantau yang kukuh berikutan data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang rendah baru-baru ini meningkatkan keyakinan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan mengurangkan kadar faedah tidak lama lagi.

Pengumuman China yang terkini mengenai langkah-langkah rangsangan yang akan datang turut membantu menaikkan sentimen, kata peniaga.

“Bagaimanapun, kenaikan seterusnya dihadkan oleh kebimbangan mengenai ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah dan ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS dalam persekitaran harga penanda aras minyak mentah tidak berubah,” katanya.

Menurut peniaga, niaga hadapan getah Jepun mencecah paras tertinggi dalam tempoh tiga minggu hari ini, disokong oleh harapan lebih banyak rangsangan dalam pengguna utama China, walaupun yen yang lebih kukuh mengehadkan kenaikan.

Turut dilaporkan bahawa harga AS merosot pada November untuk kali pertama dalam tempoh lebih 3.5 tahun, mendorong kenaikan inflasi tahunan lebih rendah di bawah tiga peratus, meningkatkan jangkaan pasaran kewangan mengenai pengurangan kadar faedah daripada Fed pada Mac depan.

Peniaga juga berkata badan perancang utama China telah mengenal pasti kumpulan kedua projek pelaburan awam, dengan pelaburan lebih 560 bilion yuan untuk meningkatkan ekonomi.

Sementara itu, harga minyak kekal pada jajaran kecil dalam perdagangan Asia pada Selasa berikutan pasaran mempertimbangkan prospek gangguan bekalan yang berterusan di Laut Merah berbanding kebimbangan mengenai pengeluaran yang tinggi pada 2024.

Berbanding sesi penutup dagangan sebelum ini, harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) naik 12 sen kepada 687.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal merosot satu sen kepada 534.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan untuk SMR 20 fizikal sebanyak 684.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal sebanyak 536.0 sen sekilogram.

Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup pada 25 Dis sempena cuti Hari Krismas.

 

https://berita.rtm.gov.my/ekonomi/senarai-berita-ekonomi/senarai-artikel/pasaran-getah-ditutup-bercampur-campur-6

 

Sumber : Berita RTM

Kuala Lumpur: Pelantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi baharu diharap akan membawa perubahan yang lebih baik dalam tadbir urus dan amalan industri pertanian negara, terutamanya berkaitan dengan kemampanan industri kelapa sawit.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata beliau melihat Johari sebagai individu berpengalaman dalam sektor korporat dan sebagai mantan Menteri Kewangan II pula menunjukkan pengalamannya terhadap urusan-urusan pentadbiran negara.

"Beberapa cabaran yang mungkin dihadapi oleh beliau termasuk isu-isu seperti Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), kekurangan tenaga buruh, peningkatan kos, hasil pekebun kecil yang rendah, dan masalah penanaman semula yang lambat," katanya kepada Bernama.

Ahmad Parveez berkata isu pekebun kecil perlu ditangani oleh menteri baharu kerana kelompok tersebut bergerak secara individu dengan kapasiti yang terhad.

"Dengan pengalaman Datuk Seri Johari dalam sektor korporat, beliau mungkin dapat membantu kita memikirkan bagaimana untuk memperkuatkan pekebun kecil supaya mereka dapat mencapai tahap ekonomi yang lebih optimum," katanya.

Beliau juga berkata industri sawit sedang menghadapi masalah kekurangan tenaga buruh dan ketidakcukupan pekerja tempatan.

"Oleh itu, kita berharap beliau dapat membantu kita dalam usaha mengguna pakai teknologi seperti Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) yang memberi tumpuan kepada teknologi mekanisasi dan automasi terkini dalam kerangka Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

"MARCOP ini sesuai untuk menarik lebih ramai generasi muda kita menyertai industri ini," katanya.

Ahmad Parveez juga berharap agar menteri baharu akan sentiasa mengadakan sesi dialog dan penglibatan dengan pihak-pihak berkepentingan dalam industri sawit.

"Kita berharap beliau dapat meneruskan budaya ini. Dengan melibatkan pemain industri, kita dapat duduk bersama dalam proses libat urus bagi memahami cabaran yang dihadapi oleh industri kelapa sawit negara.

"Libat urus ini dengan semua pemegang taruh akan memperkukuhkan dan memudahkan penyelesaian isu-isu dalam industri," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata MPOB dan industri sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Johari dan akan memberikan sokongan sepenuhnya dalam memajukan industri tersebut.

Ahmad Parveez juga mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga mantan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof yang selama ini banyak mencurahkan jasa dan bakti dalam memartabatkan industri sawit Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) Datuk Carl Bek-Nielsen berkata beliau optimis dengan pelantikan menteri baharu berkenaan.

"Datuk Seri Johari Abdul Ghani mempunyai latar belakang kewangan yang kukuh dan terkenal dengan ketelitian, pertimbangan yang tajam dan kebolehan membuat keputusan. Kami berhasrat untuk bekerjasama rapat dengan beliau," katanya.

Bek-Nielsen juga berkata perlunya melihat kepada gambaran yang lebih besar mengenai tugas menteri baharu untuk meningkatkan semula trend hasil komoditi negara yang menurun.​

"Ini penting untuk memastikan kemampanan ekonomi jangka panjang industri kita.

"Pada masa yang sama, kita mesti terus menumpukan usaha untuk memastikan saluran perdagangan kekal terbuka dan menyampaikan mesej penting kepada dunia bahawa minyak Sawit Malaysia berada di puncak kualiti dan kemampanan, menetapkan standard yang paling tinggi," tambahnya.

 

https://www.hmetro.com.my/bisnes/2023/12/1040647/pelantikan-johari-abdul-ghani-bawa-perubahan-lebih-baik#google_vignette

 

Sumber : Harian Metro

PELANTIKAN Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi baharu diharap akan membawa perubahan yang lebih baik dalam tadbir urus dan amalan industri pertanian negara, terutama berkaitan dengan kemampanan industri kelapa sawit.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, beliau melihat Johari sebagai individu berpengalaman dalam sektor korporat dan sebagai mantan Menteri Kewangan II pula menunjukkan pengalamannya terhadap urusan pentadbiran negara.

"Beberapa cabaran yang mungkin dihadapi beliau termasuk isu seperti Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), kekurangan tenaga buruh, peningkatan kos, hasil pekebun kecil yang rendah dan masalah penanaman semula yang lambat," katanya.

Ahmad Parveez berkata, isu pekebun kecil perlu ditangani menteri baharu kerana kelompok terbabit bergerak secara individu dengan kapasiti terhad.

"Dengan pengalaman Datuk Seri Johari dalam sektor korporat, beliau mungkin dapat membantu kami memikirkan bagaimana untuk memperkuatkan pekebun kecil supaya mereka dapat mencapai tahap ekonomi yang lebih optimum," katanya.

Beliau juga berkata, industri sawit menghadapi masalah kekurangan tenaga buruh dan ketidakcukupan pekerja tempatan.

"Oleh itu, kami berharap beliau dapat membantu kami dalam usaha mengguna pakai teknologi seperti Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (Marcop) yang memberi tumpuan kepada teknologi mekanisasi dan automasi terkini dalam kerangka Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

 

https://www.hmetro.com.my/bisnes/2023/12/1040850/terus-kemampanan-industri-sawit-negara

Sumber : Harian Metro

PUTRAJAYA: Menteri Peladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan kementerian yang diterajuinya kini sudah teratur dan ditadbir dengan sempurna.

Bagaimanapun, katanya, tugasnya kini adalah meneruskan segala perancangan yang diatur dalam kementerian tersebut.

“Mereka telah melakukan kerja yang baik sebab bila saya tengok di laman web kementerian, semuanya sangat menyeluruh.

“Jadi, saya cuma nak mengukuhkan hubungan dengan pemain-pemain industri dalam sektor perladangan dan komoditi,” katanya ketika ditemui selepas mengimbas kad perakam waktu di lobi KPK tengah hari tadi sebagai simbolik memulakan tugas secara rasmi di kementerian itu.

Beliau yang tiba kira-kira 1.10 tengah hari itu disambut timbalannya, Datuk Chan Foong Chin dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli@Sukari sebelum menghadiri taklimat ringkas bersama pengurusan tertinggi KKM.

Johari antara lima bekas menteri yang dilantik semula dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Mengulas lanjut Johari berkata, beliau mengakui tanggungjawab untuk menerajui kementerian tersebut agak mencabar kerana situasi ekonomi semasa.

Katanya, beliau akan mengadakan mesyuarat secara berkala dengan semua industri dan pemegang taruh dalam masa terdekat bagi mendapatkan situasi menyeluruh industri perladangan dan komoditi negara.

Jelasnya lagi, KPK bukan sebuah kementerian yang menjana pendapatan negara sebaliknya berperanan sebagai pemudah cara kepada industri.

“Kerajaan juga dapat tiga manfaat jika sektor perladangan dan komoditi diurus dengan baik termasuk perolehan cukai, peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

 

https://www.utusan.com.my/nasional/2023/12/kementerian-perladangan-dan-komoditi-sudah-ditadbir-sempurna-sebelum-ini-johari/#google_vignette

 

Sumber : Utusan Malaysia