SETIU, 18 Julai -- Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyasarkan penanaman kenaf di kawasan seluas 1,000 hektar di Terengganu sebelum akhir tahun ini, menurut menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata berkata ketika ini terdapat 391.6 hektar tanaman kenaf di negeri itu dan yakin sasaran itu mampu dicapai susulan terdapat 8,000 hektar tanah terbiar yang boleh diusahakan oleh golongan muda dan lepasan universiti untuk tanaman komoditi tersebut.
"Penerangan perlu diberi kepada mereka bahawa kerajaan juga ada menyediakan peruntukan geran dari segi modal kerja (bernilai lebih RM2,000 untuk sehektar tanaman) bagi menggalakkan penglibatan mereka mengusahakan tanah-tanah terbiar ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan prihatin kenaf peringkat negeri Terengganu bernilai RM195,800 kepada 249 wakil penanam kenaf di Kampung Guntung Dalam, di sini, hari ini.
Kerajaan melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) telah memperuntukkan RM968,680 kepada 1,357 penanam kenaf di Kedah, Pahang, Kelantan dan Terengganu sebagai inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat.
Dalam pada itu, Pengerusi LKTN, Dr Azman Ibrahim, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, berkata pihaknya telah mengenal pasti tanah terbiar yang sesuai untuk diusahakan dengan tanaman kenaf.
"Kenaf ini adalah tanaman jangka masa pendek, jadi mana-mana usahawan yang berminat boleh membangunkan tanah terbiar dengan kebenaran pemilik dengan lebih mudah.
"Kita dalam proses untuk menganalisa setiap permasalahan berkaitan tanah terbiar ini dan cuba capai sasaran 1,000 hektar tanaman kenaf dalam tempoh enam bulan lagi seperti sasaran KPPK," katanya.
Klasifikasi tanah terbiar di Terengganu ialah tanah milik individu atau syarikat berkeluasan lebih 0.404 hektar dan tidak dimajukan selama tiga tahun berturut-turut namun tanah kerajaan tidak dikira sebagai tanah terbiar.
-- BERNAMA

https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1861971
Sumber: bernama.com