KOTA SAMARAHAN, 5 Jun -- Lembaga Koko Malaysia (LKM) telah menubuhkan kluster koko Sarawak (SARA Cocoa Cluster) bagi mengembangkan lagi kegiatan penanaman koko dan pengeluaran produk berasaskan komoditi itu.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Willie Mongin hari ini berkata penubuhan kluster ini juga adalah selaras dengan potensi besar yang dimiliki Sarawak untuk menjadi pengeluar produk berasaskan koko, terutamanya produk coklat.
“SARA Cocoa Cluster merupakan kawasan penanaman koko yang ketika ini tertumpu di Sebuyau, Asajaya, Kota Samarahan serta Padawan, dan akan diperluaskan merangkumi kawasan Tebedu dan Serian,” katanya dalam sidang media selepas meninjau pembangunan Kompleks SARA Cocoa Cluster LKM di sini.
Menurutnya, kompleks bernilai kira-kira RM4.66 juta itu dijadualkan siap pembinaannya pada Oktober depan dan dijangka mulai beroperasi selewat-lewatnya Disember tahun ini.
“Apabila beroperasi kelak ia akan dijadikan pusat pemprosesan benih koko, pemprosesan dan penjualan produk coklat serta ruang pejabat Koperasi Kluster Koko Sarawak,” katanya.
Willie berkata program pembangunan rantaian kluster koko ini bakal menjadi pemboleh ubah di peringkat huluan yang telah dirangka oleh KPPK dan dilaksanakan mengikut konsep “Farm to Table”, iaitu model “beans to chocolate” bagi mengalakkan kegiatan hiliran berasaskan koko.
“Melalui program ini, pengeluaran biji koko dan pendapatan pengusaha-pengusaha koko serta komoditi setempat dapat ditingkatkan,” katanya sambil menyeru agar pihak pelabur melabur dalam industri hiliran koko di negeri ini.
Pekebun kecil koko pula diberi bantuan subsidi bagi tanaman baharu yang berpotensi untuk dimajukan selain bantuan kepada mereka yang hendak meluaskan lagi kebun atau menggantikan kebun yang tidak lagi ekonomik untuk diselenggarakan.
Sebanyak RM12.8 juta telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 bagi tujuan pembangunan ini, manakala di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.69 juta dalam bentuk input pertanian kepada 4,943 pekebun kecil koko yang layak yang melibatkan kawasan penanaman seluas kira-kira 3,895 hektar di seluruh negara.
“Pemberian bantuan ini diharap dapat membantu pekebun kecil koko yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 bagi tujuan meneruskan penyelenggaraan kebun mereka,” katanya.
-- BERNAMA
https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1850313
Sumber: bernama.com