KOTA MARUDU: Kerajaan Sabah akan berusaha memastikan industri kayu-kayan negeri akan terus lestari dan mampan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, usaha itu termasuk memastikan sumber bahan mentah mencukupi bagi menghasilkan produk-produk hiliran yang berasaskan kayu.
“Dalam hal ini, kita akan sentiasa mengadakan perbincangan dengan pihak industri serta persatuan-persatuan yang terlibat seperti Persatuan Industri Kayu-kayan Sabah (STIA).
“Kita juga dalam proses mengadakan rangka kerja perundangan untuk dihantar ke Kabinet negeri supaya diwujudkan satu sistem perundangan agar kayu-kayan yang ditanam oleh orang kampung boleh digunakan sebagai bahan mentah tanpa diganggu oleh mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan selepas membuat lawatan kerja di Kilang Papan KK Assan Sdn Bhd, di sini semalam.
Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian (MTI) turut memuji cara pengoperasian Kilang Papan KK Assan Sdn Bhd yang membuka peluang ekonomi kepada penduduk sekitar.
“Kilang itu menggunakan bahan mentah daripada jenis pokok yang mudah ditanam seperti pokok akasia, getah dan pokok kelapa yang dibeli daripada penduduk kampung.
“Pada masa yang sama kilang ini turut membuka peluang pekerjaan kepada warga tempatan yang menyaksikan sebanyak 85 peratus pekerjanya adalah penduduk yang tinggal berhampiran dengan kilang tersebut,” katanya sambil memaklumkan kilang itu juga menghasilkan perabot melalui kerjasama Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pelabur dari negara China.
Sementara itu, Timbalan Presiden STIA Tan Peng Juan berterima kasih atas kesudian Madius turun padang bagi melihat sendiri dan membincangkan perkembangan semasa industri kayu di Sabah.
“Sememangnya kita agak terkesan dengan pandemik COVID-19, tapi kita percaya dengan sokongan daripada kerajaan negeri serta pembekalan bahan mentah yang berterusan, ahli-ahli persatuan ini akan dapat meneruskan pengeluaran produk,” katanya.
Terdahulu, Pengarah Eksekutif Kilang Papan KK Assan Sdn Bhd Ong Huang Peng dalam ucapan memaklumkan syarikat Kilang Papan KK Assan Sdn Bhd turut mengeksport produk kayu-kayan ke luar negara seperti Jepun, China, Taiwan dan Singapura.
“Terkini, syarikat kami sedang dalam proses merancang selaras dengan inspirasi kerajaan negeri untuk menambah kapasiti pengeluaran dan menghasilkan produk yang bernilai tinggi, merangkumi pengeluaran produk-produk kayu yang lebih canggih dan berdaya saing seperti komponen perabut dan perabot siap-pakai.
“Kami berharap kerjasama industri kayu kayan dengan kerajaan negeri akan berterusan ke arah ekonomi Sabah yang lebih baik,” katanya.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedict, Setiausaha Tetap MTI Datuk Madiyem Layapan serta tetamu kehormat yang lain.
https://www.utusanborneo.com.my/2020/06/23/kerajaan-pastikan-kelestarian-industri-kayu
Sumber: utusanborneo.com.my
