KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan melakukan penelitian dalam minggu ini sebelum memberi kebenaran kepada kilang dan ladang-ladang kelapa sawit yang memenuhi syarat untuk beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, beliau telah mengarahkan Pengarah Kesihatan Negeri dan juga polis Cawangan Khas sejak minggu lalu supaya mengumpulkan fakta bahawa kilang dan ladang-ladang sawit di daerah berkenaan selamat untuk beroperasi.
Beliau berkata, pengumpulan fakta itu mungkin mengambil sedikit masa dan beliau telah memberi garis panduan tentang peraturan-peraturan yang harus dipatuhi oleh kilang dan ladang-ladang sawit yang dibenarkan beroperasi.


“Saya tidak mahu hanya mendengar daripada syarikat-syarikat sawit semata-mata. Saya mahukan fakta bahawa kilang mahupun ladang-ladang ini selamat. Kita perlu melihat jaraknya kerana ada ladang berada di Semporna tapi kilangnya mungkin berada di Lahad Datu.
“Jika dilihat di Felda Sahabat Lahad Datu, ada enam pekerja disahkan positif Covid-19. Ladang ini adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kita minta ia ditutup. Ia bukan mengenai keuntungan, saya tidak mahu nyawa manusia terkorban,” kata bagi mengulas saranan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi supaya membenarkan ladang dan kilang sawit di enam daerah di Sabah beroperasi.
Mohd Shafie berkata, perkara itu akan diuruskan dengan teliti kerana dalam sistem yang dihadapi, jika hanya melihat kepada tekanan yang datang daripada pelbagai pihak, memang sukar maka, penelitian perlu dilakukan.
Menurutnya, garis panduan yang diberikan harus dipatuhi seperti melakukan pemeriksaan suhu badan, menjaga jarak selamat satu meter, mengamalkan penjagaan kebersihan dengan menyediakan sanitasi tangan serta memakai topeng penutup hidung dan mulut.
Katanya, biarpun ada syarikat-syarikat yang memaklumkan pekerja mereka bebas Covid-19 namun, mereka perlu mematuhi peraturan dan garis panduan yang diberikan. Mereka perlu mejaga keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerja mereka.
“Kita akan membuat rondaan bagi memastikan mereka patuhi garis panduan ditetapkan. Sekiranya mereka mematuhi peraturan ditetapkan, kelonggaran boleh diberikan untuk mereka untuk beroperasi,” ujarnya.
Beliau turut meminta syarikat sawit bersabar seketika kerana keadaan yang dihadapi sekarang melibatkan nyawa manusia dan usaha diambil untuk memastikan pekerja-pekerja kilang dan ladang sawit ini tiada kontak langsung dengan jangkitan Covid-19.

https://www.borneotoday.net/penelitian-ladang-sawit-yang-boleh-beroperasi-dibuat-minggu-ini/
Sumber: borneotoday.net

 

C