KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah memutuskan melanjutkan penutupan operasi ladang sawit dan kilang kelapa sawit selaras lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sehingga 14 April ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dalam satu kenyataan hari ini, berkata lanjutan penutupan itu membabitkan tiga daerah di Sabah, iaitu Tawau, Lahad Datu dan Kinabatangan dilanjutkan sehingga 14 April ini.
“Kerajaan negeri memutuskan menutup operasi ladang sawit dan kilang kelapa sawit membabitkan Kalabakan, Semporna dan Kunak, bermula hari ini sehingga 14 April ini.
“Penutupan operasi ladang sawit ini adalah di bawah peruntukan Akta 342,” katanya.
Safar berkata, pihaknya memutuskan untuk membenarkan kedai tayar dan bengkel beroperasi dengan waktu beroperasi tertentu yang ditetapkan.
“Kita juga membenarkan sebahagian kedai tayar dan bengkel yang berdaftar di bawah Jabatan Kerja Raya untuk beroperasi semasa tempoh PKP ini.
“Bilangan kedai tayar dan bengkel yang diberikan kebenaran akan ditentukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan di daerah masing-masing iaitu dibuka pada 8 pagi hingga 2 petang pada Isnin, Rabu dan Jumaat sahaja,” katanya.
Selain itu, kedai haiwan peliharaan dibenarkan beroperasi tiga kali seminggu pada Isnin, Rabu dan Jumaat, iaitu jam 8 pagi hingga 2 petang.
Kerajaan negeri turut memutuskan untuk tidak mengadakan Pasar Tani di Sabah sepanjang tempoh PKP ini.

https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/04/671857/sabah-lanjutkan-operasi-ladang-dan-kilang-kelapa-sawit
Sumber: bharian.com.my
Oleh Rafiqah Dahali/bhnews [AT] bh [DOT] com [DOT] my