KUALA LUMPUR, 5 Mac -- FGV Holdings Berhad (FGV) hari ini mengumumkan kesemua 68 kilang dan 173 ladang yang meliputi 373,517 hektar di seluruh negara kini 100 peratus diperakui pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di bawah piawaian Malaysian Standard MS 2530: 2013.
Anak syarikat FGV, Asian Plantation (Sarawak) Sdn Bhd menjadi ladang terakhir menjalani proses audit dan menerima pensijilan pada 27 Februari, tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata pensijilan MSPO menunjukkan pengukuhan komitmen FGV terhadap kelestarian dan sokongan kepada usaha kerajaan melalui Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) untuk memartabatkan minyak sawit Malaysia di mata dunia.
“Ianya merupakan perjalanan yang sukar tetapi amat memuaskan bagi kami berdasarkan keluasan operasi kami di seluruh Malaysia.
Kami berterima kasih kepada MPOCC atas sokongan dan bimbingan mereka sepanjang proses pensijilan,” kata Haris Fadzilah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata sebagai antara syarikat pengeluar minyak sawit mentah terbesar di dunia, pensijilan ini membuktikan FGV sebagai syarikat yang mampan dan bertanggungjawab sejajar dengan matlamat kelestarian kami.
“Kami akan terus memastikan standard tertinggi dalam rantaian bekalan kami,” katanya.
FGV merupakan sebahagian daripada Jawatankuasa Kerja Teknikal Standard MSPO 2013 dan juga Jawatankuasa Kerja Teknikal Akreditasi Standard MSPO 2013.
Sebagai syarikat yang tersenarai, FGV adalah unik kerana perniagaannya menyokong kehidupan pekebun kecil.
Satu daripada objektif utamanya adalah untuk memastikan pekebun kecil turut serta dalam mewujudkan minyak sawit Malaysia yang mampan. Menyedari hal ini, FGV bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah mengenal pasti 8,372 pekebun kecil yang akan didaftarkan untuk pensijilan MSPO di bawah skim MPOB.
“Amat penting bagi kami untuk melibatkan pekebun kecil di dalam perjalanan kami menjadi pemain agri-perniagaan yang lestari. Sehubungan itu, sebagai salah satu pemain industri minyak sawit utama, FGV akan terus menyokong pembangunan positif dalam industri itu ke arah meningkatkan imej industri minyak sawit di peringkat antarabangsa,” tambah Haris Fadzilah.
-- BERNAMA
https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1818850
Sumber: bernama.com