Anak syarikat FGV Holdings Bhd, Felda Johor Bulkers Sdn Bhd (FJB)

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd membatalkan rancangan untuk bekerjasama dengan Dalian Commodity Exchange (DCE) menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai dua tahun lalu bagi projek pengantarabangsaan niaga hadapan sawit.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, lembaga pengarah FGV mengumumkan bahawa MoU itu tamat pada 14 November lalu dan tidak menjadi keperluan untuk melanjutkannya pada masa ini.


"Matlamat MoU ini adalah untuk menzahirkan hasrat kami bekerjasama dalam projek pengantarabangsaan niaga hadapan sawit, memandangkan objektif DCE adalah untuk mengembangkan lokasi penghantaran di peringkat serantau, termasuk Malaysia," kata syarikat perladangan itu.
FGV berkata, tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama syarikat atau individu yang berkaitan mereka mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam MoU terbabit.
"Luputnya MoU tidak akan mempunyai sebarang impak kewangan ke atas kumpulan," katanya.
MoU itu dimeterai pada November 2018.
DCE adalah bursa niaga hadapan pertanian, plastik, arang batu dan bijih besi terbesar di dunia.
MoU itu tertumpu kepada perkhidmatan ditawarkan oleh anak syarikat FGV, Felda Johor Bulkers Sdn Bhd (FJB).
FJB mempunyai pengalaman luas perniagaan pukal dengan kapasiti simpanan 860,000 tan.

https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2020/11/754782/fgv-dce-batal-pelan-kerjasama-niaga-hadapan-sawit
Sumber : Berita Harian Online