https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/02/651982/india-kekal-kadar-cukai-import-sawit-asean
Sumber: bharian.com.my
NEW DELHI: Kementerian Kewangan India mengeluarkan pemberitahuan bahawa cukai import ke atas minyak sawit mentah (MSM) akan ditetapkan pada 44 peratus, namun sumber perdagangan pula menunjukkan tiada perubahan dalam struktur duti sedia ada bagi kargo dari ASEAN.
“Dalam pemberitahuan belanjawan (persekutuan India), duti import dinyatakan pada 44 peratus yang merujuk kepada kadar duti standard.
“Bagaimanapun, duti import di bawah perjanjian (perdagangan bebas) ASEAN kekal pada 37.5 peratus seperti sebelumnya, oleh itu tiada perubahan dalam struktur duti minyak sawit,” kata Presiden Persatuan Pengeluar Minyak Sayuran India, Sudhakar Desai.
Mulai tahun ini, India mengurangkan duti ke atas MSM ASEAN kepada 37.5 peratus daripada 40 peratus manakala cukai bagi minyak sawit bertapis diturunkan kepada 45 peratus daripada 50 peratus.
“Berdasarkan pembacaan dan pemahaman mengenai belanjawan Kesatuan, kami memahami bahawa tiada perubahan kadar bagi duti kastam asas ke atas import MSM dan minyak sawit bertapis,” katanya.
Belanjawan nasional India bagi tahun fiskal 2020-21 dibentangkan di Parlimen pada Sabtu.
Seorang lagi sumber berkata, duti import 44 peratus adalah untuk kargo yang tidak menikmati faedah tempat asal di India, pengimport minyak sayuran terbesar dunia.
India bergantung kepada import untuk memenuhi 70 peratus keperluan minyak makannya.
Minyak sawit dari Indonesia dan Malaysia menyumbang hampir dua pertiga daripada import minyak makan tahunan India pada 15 juta tan.
-BERNAMA
