http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1809623
Sumber: bernama.com/ Tarikh kemaskini: 28/01/2020


KUALA LUMPUR, 28 Jan -- Usaha berterusan pelbagai pihak dalam memperkukuh industri sawit negara, akhirnya membuahkan hasil apabila persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kini diiktiraf pelbagai pihak di persada antarabangsa.

Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim berkata MSPO antara lain diperakui sebagai sumber minyak sawit mampan oleh Olimpik Tokyo 2020, serta diiktiraf oleh Green Food Development Centre China.

Aplikasi MSPO-Trace juga diperkenal bagi mengesan rantaian bekalan produk sawit.

MSPO juga diktiraf oleh Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) India, dan dengan pengiktirafan tersebut, dapat mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia dan India dalam mempromosi penghasilan dan perdagangan minyak sawit mampan.

Sejajar dengan pengiktirafan antarabangsa itu, eksport ke India melonjak sebanyak 77.1 peratus dari segi kuantiti dengan kenaikan nilai yang meningkat sebanyak 15.8 peratus, manakala China meningkat sebanyak 27.3 peratus (kuantiti) dan 13.7 peratus (nilai), sementara Jepun meningkat 25.6 peratus (kuantiti) dan 4.2 peratus (nilai)

“Malaysia juga berjaya menembusi pasaran baharu seperti di negara-negara di Afrika Timur (Ethopia, Tanzania, Kenya), Asia Tengah dan Asia Selatan (Pakistan dan Bangladesh) dengan kuantiti eksport antara Januari hingga November 2019, meningkat 25.7 juta bernilai RM59 billion,” katanya semasa membentangkan Kad Laporan kementerian itu dalam program Bicara Naratif di RTM, Angkasapuri.

Kad laporan bagi tempoh Julai 2018 hingga Disember 2019 itu menggariskan kejayaan Kementerian Industri Utama dalam mengukuhkan prestasi pelbagai komoditi negara.

Mengulas lanjut mengenai persijilan MSPO, Kok berkata sehingga Disember 2019, kawasan tanaman sawit yang telah mendapat sijil MSPO meningkat kepada 62.4 peratus atau 3.64 juta hektar.

Bagi kilang sawit, sebanyak 340 kilang telah memperoleh persijilan tersebut berbanding hanya 50 kilang pada akhir 2017.

Selari usaha kerajaan untuk terus mengukuhkan harga minyak sawit, kerajaan melaksanakan program biodiesel yang menggunakan minyak sawit (B7 dan B10) tahun lepas, yang secara langsung telah meningkatkan permintaan dalaman.

“Kita berjaya mencapai sasaran, dengan penggunaan minyak sawit mentah (MSM) mencecah 227,000 tan metrik setahun bagi B7 dan 534,000 tan metrik setahun bagi B10,” katanya.

Menerusi langkah yang telah diambil, harga minyak sawit terus mengukuh, dengan harga MSM 2019 secara purata sebanyak RM2,813 setan berbanding RM1,795 setan pada Disember 2018.

“Dengan pengenalan empat dasar baharu yang diumumkan pada Mac tahun lepas, kita berharap industri sawit akan mencapai hala tuju yang ditetapkan, terutama dalam menangani kempen antisawit antarabangsa,” katanya.

Empat dasar tersebut ialah mengehadkan keluasan penanaman kelapa sawit di seluruh negara dengan penetapan sasaran seluas 6.5 juta hektar, larangan penanaman baharu sawit di kawasan baharu tanah gambut, larangan penukaran guna tanah Hutan Simpan Kekal bagi aktiviti tanaman sawit dan pertanian lain dan penyediaan peta rasmi bagi kawasan sawit untuk capaian umum.

-- BERNAMA