http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1809455
Sumber: bernama.com
Oleh Nurul Hanis Izmir
KUALA LUMPUR, 27 Jan -- Walaupun 80 peratus daripada minyak sawit digunakan dalam penghasilan makanan, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut memberi tumpuan kepada kelebihan minyak makan itu dari segi manfaat kesihatan yang disokong oleh bukti penyelidikan saintifik menerusi kerjasama dengan institusi penyelidikan terkemuka serta di peringkat dalaman.
Malah, banyak kajian telah membuktikan bahawa minyak sawit mengandungi manfaat kesihatan seperti antioksida, antikanser selain berpotensi memiliki kandungan penting bagi penghasilan produk makanan bernilai tinggi seperti formulasi makanan bayi.
"Minyak sawit amat unik kerana ia satu-satunya minyak sayuran yang tinggi kandungan tokotrienol dengan kesan positif dari segi antioksidan, antikanser, kesan kardio dan kesan perlindungan neuroprotektif," kata Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir kepada Bernama.
Beliau berkata, penyelidikan dan pembangunan dari segi pemakanan oleh pihak pengawal selia industri itu yang seiring piawaian ISO, turut membabitkan bidang penting minyak sawit, minyak sawit merah dan fitonutrien sawit yang meliputi campur tangan klinikal manusia, kajian praklinikal serta pembangunan produk manfaat kesihatan.
Ini termasuk penyelidikan mengenai kesan minyak sawit terhadap paras kolesterol dalam darah dan parameter lipid lain, kesan minyak sawit merah menangani kekurangan vitamin A, kesihatan dalaman dan kajian dari segi aktiviti antikanser dan antiradang oleh fitonutrien sawit seperti tokotrienol dan karotena.
Menurutnya, pendekatan serupa turut digunakan dalam penyelidikan fenolik minyak sawit, komponen yang ditemui bagi memaparkan pelbagai manfaat kesihatan yang menjadikannya penting dalam sektor kesihatan dan kesejahteraan.
Minyak sawit juga kaya dengan fitonutrien seperti karotenoid, tokoferol, tokotrienol, sterol, squalena, koenzim fosfolipid Q10 dan polyfenphenol yang merangkumi satu peratus daripada beratnya.
Ahmad Parveez berkata, fitonutrien ini mempunyai kandungan antioksida dan beberapa manfaat pemakanan yang melangkui peranan antioksida itu.
“Ia satu-satunya minyak sayuran yang tinggi kandungan tokotrienol dan positif dari segi antioksida, antikanser, kesan kardio dan kesan perlindungan neuroprotektif.
"Sehubungan itu, kami telah memulakan beberapa kajian klinikal menerusi kerjasama dengan pelbagai institusi penyelidikan seperti Pusat Kanser Royal Marsden di United Kingdom, Universiti Ohio State, Universiti Indiana dan Universiti Wayne State di Amerika Syarikat serta universiti tempatan di Malaysia dalam bidang berkaitan perlindungan neuro, strok, hati dan penyakit buah pinggang.
“Kami mendapati karotena minyak sawit merah memiliki banyak manfaat kesihatan penting. Karotena adalah provitamin A yang membolehkannya bertukar kepada vitamin A dalam badan apabila diperlukan," katanya.
Masalah kekurangan vitamin A adalah serius di serata dunia, khususnya dalam kanak-kanak yang kurang makanan berkhasiat dan boleh menyebabkan pelbagai penyakit terutamanya yang berkaitan mata.
Di Malaysia misalnya, masalah kekurangan vitamin A adalah ketara dalam kalangan murid Orang Asli peringkat prasekolah dan sekolah rendah serta mereka yang menetap di kawasan estet.
Beliau berkata kira-kira 82.2 peratus daripada anak-anak Orang Asli menghidap masalah mata akibat kekurangan vitamin A daripada peringkat rabun malam sehingga parut kornea.
Bagi menangani masalah itu, MPOB menjalankan program bekalan minyak sawit merah dalam bentuk biskut kepada murid-murid 10 sekolah rendah di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Ahmad Parveez berkata kajian-kajian yang turut dijalankan juga membuktikan bahawa fenolik minyak sawit mempunyai banyak manfaat kesihatan termasuk aktiviti antioksida, antidiabetes, antihipertensi, neuroprotektif dan antiinflamasi.
Ujian praklinikal dan klinikal pula telah mengesahkan bahawa kandungan sedemikian amat penting dari segi melindungi kesihatan otak dan jantung.
"Oleh itu, fenolik minyak sawit itu mempunyai penggunaan yang meluas dalam sektor kesihatan dan kesejahteraan seperti industri nutraseutikal, kosmetik, industri makanan dan minuman.
"Kami sangat beruntung kerana (telah terbukti) bahawa minyak sawit ini kaya pelbagai komponen pemakanan penambah kesihatan seperti tocotrienols, tokoferol, karotena, fitosterol, skualena, koenzim Q10, polifenol dan fosfolipid.
"Pada masa ini, kami sedang dalam peringkat mengkaji kesesuaian memasukkan fitonutrien ini dalam formulasi makanan. Kajian ini termasuk kestabilan fitonutrien ini dalam matriks makanan dan melangkaui bioketersediaannya," katanya.
Ahmad Parveez berkata, antara pencapaian dalam proses pemeringkatan itu adalah membolehkan pemecahan pepejal sawit digunakan sebagai komponen alternatif mengatasi masalah asid translemak dalam sistem makanan, terutama di Pakistan.
Menurutnya, pemecahan pepejal sawit itu juga berpotensi besar sebagai struktur lemak, terutamanya dalam pengeluaran minyak ´ghee´ sayur-sayuran dengan lemak tepu rendah.
“Komponen pepejal berasaskan sawit juga boleh digunakan dalam penghasilan produk makanan bernilai tinggi seperti makanan segera bayi.
“Selain itu, minyak dan lemak berasaskan minyak sawit juga digunakan secara meluas dalam pengeluaran produk tenusu seperti ais krim, krim dan keju serta pengeluaran lemak konfeksi yang menjadi alternatif mentega koko yang lebih mahal dan sukar dari segi bekalan," katanya.
-- BERNAMA
