KUALA LUMPUR, 30 Nov-- Penurunan duti import minyak sawit mentah (MSM) oleh India kepada 27.5 peratus akan menjadikan MSM lebih menarik apabila komoditi itu dijangka meraih kembali bahagian pasarannya yang terlepas kepada minyak bunga matahari dan minyak kacang soya tahun ini, kata Maybank Kim Eng.
Firma penyelidikan itu berkata kebanyakan manfaat dijangka diterima oleh minyak sawit Indonesia kerana pengecualian duti eksport MSM Malaysia akan berakhir pada 31 Dis, 2020.


"Kami percaya MSM dari Indonesia akan paling banyak mendapat manfaat. Ia dijangka meraih pasaran yang lebih besar berbanding MSM dari Malaysia sebaik sahaja pengecualian duti eksport MSM Malaysia berakhir pada 31 Dis, 2020.
"Kerajaan Malaysia mengecualikan duti eksport MSM dan minyak isirung sawit mentah (antara Julai dan Disember 2020) apabila COVID-18 telah menjejaskan permintaan pada permulaan pandemik,” kata firma penyelidikan itu.
Memetik Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Maybank Kim Eng berkata kerajaan Malaysia ketika ini tidak merancang untuk melanjutkan pengecualian cukai itu selepas 31 Dis, 2020.
Firma penyelidikan itu berkata penyimpanan stok yang segera akan mempercepat pembetulan harga musiman MSM pada pertengahan 2021.
Menjelang 1 Jan, 2021, Maybank Kim Eng menjangka eksport MSM Malaysia menarik lebih kurang lapan peratus duti eksport (atau kira-kira RM270 setan metrik) dengan mengandaikan harga MSM kekal pada RM3,430 setan metrik (sehingga 26 Nov).
Pada paras harga yang sama, duti eksport MSM Indonesia hanya sebanyak US$18 setan metrik atau RM75 setan metrik.
Firma penyelidikan itu berkata ia mengekalkan unjuran harga purata MSM pada RM2,500 setan metrik bagi 2021.
Sementara itu, Maybank Kim Eng menaikkan saranan sektor tersebut kepada ‘positif’ daripada ‘neutral’ apabila pengurangan duti import itu berkuat kuasa pada 27 Nov, 2020.
-- BERNAMA

https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1906939
Sumber : Bernama