
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sedang mengkaji kemungkinan untuk menstrukturkan semula Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) bagi dikhususkan kepada kumpulan sasar tertentu seperti golongan B40 dan sebagainya.
Menteri, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata ini memandangkan kerajaan menyedari keperluan dan kehendak golongan pekebun kecil namun penstrukturan semula TSPKS itu tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan.
“Bermulanya Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK) yang disediakan semasa RMK-10 telah ditukar daripada geran kepada pinjaman dan dikenali sebagai Skim TSPKS.
“Skim TSPKS telah dirangka agar tidak membebankan pekebun kecil dengan kadar faedah yang rendah iaitu dua peratus, tempoh moratorium selama 48 bulan dan tiada cagaran,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) berhubung pemberhentian pemberian wang tanaman semula kepada pekebun kecil kelapa sawit selain sama ada kerajaan akan memperkenalkan kembali pemberian itu.
Mohd Khairuddin berkata penukaran skim itu adalah sejajar dengan dasar semasa kerajaan untuk program tanaman semula sawit yang diusahakan agensi lain seperti Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (Felcra), Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (LKTS), Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB), Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Sarawak (SALCRA) serta Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1900073
Sumber: Bernama
