PUTRAJAYA: Skim Geran Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS-G) wajar diperkenalkan semula dalam Belanjawan 2021 bagi memperkukuh kesejahteraan rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata, TSPKS-G adalah antara inisiatif utama yang dicadangkan oleh kementeriannya bagi sektor perladangan dan komoditi.


KPPK juga, katanya terus memberi tumpuan kepada empat fokus utama seperti mana digariskan oleh Kementerian Kewangan iaitu memperkukuh kesejahteraan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi, mengupaya kehidupan lestari dan memperkasa penyampaian perkhidmatan.

"Namun, skim berkenaan jika diluluskan akan dihadkan kepada pekebun kecil dalam kalangan B40 dengan saiz pemilikan tanah di bawah 3.5 hektar.
"Dengan pemberian geran TSPKS-G, pendapatan pekebun kecil persendirian dijangka meningkat dengan hasil pengeluaran lebih tinggi menggunakan anak benih berkualiti untuk menggantikan pokok sawit berumur melebihi 25 tahun yang tidak lagi produktif," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Khairuddin berkata, bagi meneruskan kesinambungan jaminan bekalan bahan mentah
kepada sektor perkayuan, KPPK turut mencadangkan agar Dana Pusingan bagi Program Pinjaman Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) diperkenalkan.
Katanya, pendekatan baharu itu adalah penambahbaikan kepada PPLH yang telah dilaksanakan sejak 2007.

Beliau berkata, melalui pemberian dana pusingan itu, bekalan bahan mentah untuk masa hadapan sektor perkayuan adalah terjamin.
"Ia penting agar sumbangan kepada pendapatan ekport negara daripada sektor ini antara RM22 bilion hingga RM23 bilion setiap tahun dapat dikekalkan atau ditingkatkan," katanya.

Mohd Khairuddin berkata, KPPK juga prihatin dengan cabaran yang diharungi oleh pekebun
kecil getah untuk meneruskan kelangsungan hidup terutama mereka yang memerlukan.

Oleh itu, jelasnya, kementerian telah mengemukakan cadangan Inisiatif Pembangunan Koridor Lateks Wilayah Timur di Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi meningkatkan pengeluaran lateks negara.

"Inisiatif ini akan dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah melalui harga premium yang bakal dinikmati berbanding harga getah 'cumplump'," katanya.

KPPK juga, katanya berharap agar skim penstabilan pendapatan pekebun kecil menerusi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dapat diteruskan.
"Kami turut mengesyorkan pembangunan secara agresif bagi industri coklat negara melalui penubuhan Hab Coklat di Langkawi dan Pusat Perdagangan Koko di tiga pelabuhan utama di Malaysia.

"Kementerian berharap Belanjawan 2021 dapat dizahirkan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran industri agrikomoditi yang juga teras kepada pembangunan ekonomi negara," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/11/749866/perkenal-semula-geran-tanam-semula-pekebun-kecil-sawit?fbclid=IwAR271kJZyhlxNY9e75_0GhpS4J2Lmh7lt7Kj4cqXTSQ0D7OoPBrVaTv00fc
Sumber: Berita Harian