mpi
KENYATAAN MEDIA


 

24 OKTOBER 2018
YB TERESA KOK, MENTERI INDUSTRI UTAMA
BERHUBUNG ARTIKEL BERTAJUK “NAJIB ASKS WHY BIG DIFFERENCE IN TRENDS WITH INDONESIA IN PALM OIL EXPORTS”
YANG DISIARKAN DI DALAM STAR ONLINE PADA 22 OKTOBER 2018


1. Mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak digesa menghentikan perbuatan dengan mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan masyarakat umum berhubung trend perubahan yang mendadak berkenaan eksport minyak sawit dalam tempoh Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. Beliau selaku mantan Menteri Kewangan seharusnya melihat senario tersebut daripada sudut yang lebih luas berbanding membuat kenyataan sedemikian.

2. Berdasarkan statistik perdagangan yang dikeluarkan bagi tempoh Januari sehingga September 2018, telah membuktikan bahawa terdapat peningkatan jumlah eksport minyak sawit negara sebanyak 3.6% iaitu 18.27 juta tan berbanding 17.63 juta tan dalam tempoh yang sama pada 2017.

3. Dato’ Sri Najib seharusnya lebih memahami selok-belok berhubung perdagangan yang berorentasikan eksport, terutamanya melibatkan komoditi seperti minyak sawit, minyak sayur-sayuran dan lelemak, dimana berlakunya turun naik harga dalam pasaran termasuk eksport. Pergerakan jumlah eksport dalam pasaran komoditi telah mengalami perubahan yang agak mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuklah minyak sawit yang turut mengalami perubahan harga di pasaran antarabangsa.

4. Dato' Sri Najib sepatutnya lebih arif dengan faktor-faktor penyebab yang mempengaruhi eksport dan harga minyak sawit, termasuk perubahan iklim perdagangan yang melibatkan permintaan dan penawaran, musim-musim perayaan, stok simpanan berlebihan serta ekonomi global.

5. Industri minyak sawit Malaysia yang mantap terus menampilkan daya ketahanan yang tinggi sepanjang tahun ini, meskipun menghadapi pasaran harga komoditi global yang merudum. Justeru keyakinan terhadap jumlah eksport minyak sawit sehingga akhir tahun 2018 akan mencatatkan angka lebih tinggi daripada tahap yang dicapai pada 2017.

6. Keyakinan ini bersandarkan kepada usaha yang berterusan oleh Kementerian Industri Utama serta agensi-agensinya seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Majlis Minyak Sawit Malaysia dalam usaha mempergiatkan langkah-langkah bersesuaian dalam mengembangkan lagi pasaran eksport Malaysia.

7. Adalah menjadi harapan untuk melihat pasaran minyak sawit mencatatkan jumlah yang tinggi pada awal tahun 2019 dan seterusnya mengembalikan tahap pencapaian pada tahun sebelumnya dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Kementerian dan Kerajaan Malaysia.

Tamat.