KUALA LUMPUR, 25 Sept -- Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia, agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), kini dijenamakan semula sebagai Majlis Getah Malaysia (MRC) berkuat kuasa serta-merta.
Perubahan itu sejajar dengan peningkatan peranannya dalam usaha memacu pertumbuhan industri produk-produk getah.


Dalam kenyataan hari ini, MRC berkata ia telah mendapat kelulusan rasmi berhubung pertukaran nama itu yang menyusuli arahan penjenamaan semulanya sebagaimana diumumkan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pada Ogos lepas.
bootstrap slideshowKetua Pegawai Eksekutif MRC Brandon Chan berkata objektif perniagaan MRC yang diperluaskan itu turut membabitkan usaha pengukuhan pasaran getah domestik berserta matlamat pembangunan kapasiti dalam industri hiliran getah.
"Kita berharap inisiatif terbaharu ini akan memberi impak positif terhadap industri pertengahan dan huluan menerusi program-program sokongan dan aktiviti berterusan terhadap sektor hiliran.
"Sejajar dengan pengalaman selama 20 tahun, MRC telah mewujudkan kesedaran ketara mengenai perkara yang boleh atau tidak boleh dilaksanakan. Pengetahuan sedemikian dapat membantu kita untuk meningkatkan keupayaan selain melonjakkan industri getah negara," katanya.
Chan berkata selain memperkukuh pasaran eksport dan domestik, MRC akan turut mengenal pasti peluang-peluang baharu bagi pembangunan modal insan, meninjau penerapan teknologi terkini selain memacu industri ke arah peningkatan kelestarian.
Beliau berkata peruntukan dana automasi dan teknologi hijau berjumlah RM20 juta itu bertujuan menggalakkan penggiat industri tempatan untuk mempraktikkan aspek automasi dan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) serta sumber tenaga boleh diperbaharui.
Selain itu, satu lagi dana berjumlah RM36 juta juga telah diperuntukkan baru-baru bagi menggalakkan syarikat-syarikat hiliran getah mengambil lebih ramai pekerja tempatan.
“Ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 rakyat Malaysia selain membantu menangani isu kekurangan kerja yang dihadapi oleh industri," katanya.
Beliau juga menegaskan pertukaran identiti korporat baharu MRC itu tidak akan menjejaskan pihak berkepentingan dan penggiat industri menikmati kualiti perkhidmatan yang ditawarkan, mendapatkan maklumat dagangan produk atau menjalankan perniagaan.
Menurut Chan, seiring dengan perubahan itu, MRC akan mempertingkat hubungannya dengan pertubuhan pembangunan antarabangsa bagi memacu industri getah Malaysia dalam rantaian nilai global dan semua aktiviti aktiviti perniagaan di masa depan akan menggunakan nama baharu berkenaan.

 

https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1883431
Sumber :Bernama (Malay)