JERANTUT: Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan turun padang membantu pekebun kecil getah seluruh negara mendaftar bagi mendapatkan kad hijau, sekaligus membolehkan mereka membuat tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG).
Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazlan Idris, berkata ramai pekebun kecil getah menghadapi kesukaran membuat pendaftaran kerana lokasi mereka jauh dari pejabat wilayah LGM.
"Sebagai contoh, pekebun kecil getah di Ulu Tembeling agak sukar untuk mendaftar di pejabat wilayah yang jauh di Temerloh dan mengambil masa untuk mereka ke sana.
"Selain itu, kita akan turut mengkaji untuk memudahkan pengisian borang pendaftaran dan lain- lain prosedur yang ditetapkan," katanya yang juga Ahli Parlimen Jerantut ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Orang Asli Islam daerah ini.
Beliau mengulas dakwaan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali baru-baru ini bahawa hanya kira-kira 20 peratus pekebun getah di seluruh negara membuat tuntutan insentif itu membabitkan jumlah kira-kira RM40 juta.
Sehubungan itu, Khairuddin menggesa golongan terbabit memanfaatkan baki RM60 juta melalui IPG untuk menstabilkan pendapatan masing-masing ketika penurunan harga komoditi itu kerana kerajaan sudah memperuntukkan RM100 juta bagi tujuan pembayaran IPG tahun ini.
Ahmad Nazlan berkata, IPG adalah satu sistem yang paling berkesan setakat ini untuk membantu meringankan beban pekebun kecil getah disebabkan kejatuhan harga komoditi itu, tetapi tidak dimanfaatkan secara menyeluruh oleh kumpulan sasar berkenaan.
"Kita akan turun padang, melihat dari dekat mengapa pekebun kecil kurang memanfaatkan insentif disediakan. Kerajaan sudah menetapkan harga sokongan getah sekerap adalah RM2.50 sekilogram, apabila jatuh bawah daripada itu, kita aktifkan IPG bagi membantu penoreh terjejas.
"Bermakna, jika harga getah sekerap diambil peraih RM1.70 sekilogram, maka penoreh boleh membuat tuntutan 80 sen sekilogram di bawah sokongan IPG. Namun masih ramai tidak berbuat demikian," katanya.
Beliau juga menggalakkan pekebun menghasilkan getah lateks yang menerima permintaan lebih tinggi berbanding sekerap ketika ini.
"Ketika ini ada kira-kira 400,000 pekebun getah, kebanyakannya menghasilkan getah sekerap, sedangkan boleh memilih menghasilkan lateks yang dapat permintaan lebih tinggi," katanya turut menasihatkan golongan itu mempelbagaikan pendapatan mereka.
Antara inisiatif untuk tujuan itu, katanya, adalah dengan menceburkan diri dalam penanaman bercampur dan ternakan untuk mendapatkan sumber pendapatan tambahan, selain getah.
Pada majlis berkenaan, seramai 300 penduduk OrangAsli beragama Islam dari 20 kampung sekitar daerah ini menerima sumbangan barang keperluan untuk berbuka puasa dan wang tunai.
Sebelum ini, Ahmad Nazlan memaklumkan, semua 922 keluarga dari 22 perkampungan Orang Asli dalam Parlimen Jerantut sudah menerima bantuan kali kedua membabitkan makanan asas daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Majlis Agama Islam Pahang (MAIP).
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/04/682136/lgm-turun-padang-bantu-daftar-penoreh
Sumber: bharian.com.my
Oleh Roselan Ab Malek/ bhnews [AT] bh [DOT] com [DOT] my
