PUTRAJAYA: Pekebun kecil getah di Sarawak digesa untuk mendaftar kad Permit Autoriti Transaksi – Getah (PAT-G) di pejabat pertanian negeri itu atau mana–mana pejabat Lembaga Getah Malaysia (LGM).
Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Willie Mongin (gambar) dalam kenyataan hari ini berkata ia bagi membolehkan mereka tidak tercicir daripada mendapat manfaat Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

Katanya kementerian mengalu-alukan langkah proaktif kerajaan negeri Sarawak dalam membantu pekebun kecil dengan memberi insentif tambahan 50 sen sekilogram, menjadikan jumlah IPG meningkat kepada RM1.90 sekilogram.
"Inisiatif ini sudah tentu akan membantu meringankan bebanan dan meningkatkan pendapatan para pekebun kecil getah di Sarawak.
"Ini juga membuktikan gandingan kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan benar-benar serius membela nasib rakyat," katanya.
Willie berkata sebarang pertanyaan berhubung perkara itu boleh diajukan melalui talian hotline LGM di 1-800-888-474 pada setiap Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 5 petang atau 019-602 6001 dan 019-625 7800 selepas 5 petang. - Bernama

https://www.utusanborneo.com.my/2020/04/15/pekebun-kecil-getah-sarawak-digesa-daftar-kad-pat-g
Sumber: utusanborneo.com.my