Berita Agrikomoditi

Arkib Berita

SAWIT: Isu kekurangan buruh sawit masih belum selesai

14 Nov 2022 6 paparan



KUALA LUMPUR: Paras stok sawit Malaysia mungkin kekal tinggi sehingga setidak-tidaknya hujung tahun ini dengan isu kekurangan buruh belum menemui jalan penyelesaian dan dasar bebas levi Indonesia dilanjutkan ke akhir 2022, sekali gus mengehadkan harga minyak sawit mentah (MSM).

Penganalisis RHB Investment Bank, Hoe Lee Leng, berkata keluaran minyak sawit Malaysia menokok sebanyak 2.4 peratus pada Oktober berbanding bulan sebelumnya, manakala inventori meningkat sebanyak 3.7 peratus bulan ke bulan kepada 2.4 juta tan meskipun eksport meningkat 5.7 peratus dalam bulan berkenaan.

Beliau berkata, walaupun sejumlah pekerja asing memasuki negara, bilangannya masih belum mencukupi untuk mengurangkan isu kekurangan buruh, lantas menjejaskan pengeluaran.

Katanya, eksport sawit Malaysia juga akan terus terjejas oleh tempoh bebas cukai di Indonesia, walaupun peningkatan bermusim mungkin berlaku untuk musim Tahun Baharu Cina yang akan datang.

"Secara keseluruhannya, kami menjangkakan paras inventori minyak sawit akan kekal melepasi dua juta tan sehingga akhir tahun ini," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Lee Leng berkata, tempoh bebas levi di Indonesia dilanjutkan sehingga hujung tahun ini selagi mana harga rujukan MSM tidak melepasi paras AS$800 satu tan.

"Memandangkan harga menaik baru-baru ini, levi cukai mungkin akan dilaksanakan lebih awal daripada jangkaan, dan hal ini sepatutnya memberikan kesan baik untuk eksport sawit Malaysia," katanya.

Sementara itu, beliau berkata jurang antara harga minyak kacang soya dan MSM sekali lagi membesar kepada kira-kira AS$805 satu tan iaitu pada rekod tertinggi, jauh lebih tinggi daripada purata lalu iaitu antara AS$100 hingga AS$105 satu tan.

"Akibatnya, permintaan sepatutnya terus meningkat sebagaimana yang dapat dilihat oleh import sawit China yang kini menurun 42 peratus setakat tahun ini hingga September, manakala import sawir India dalam tempoh sama merosot sebanyak empat peratus," katanya.

Lee Leng selanjutnya berkata, China telah lama menambah stok semula dari Malaysia dengan membeli lebih 36 peratus produk sawit pada Oktober berbanding bulan sebelumnya, mengakibatkan paras stoknya menambah kepada enam peratus melebihi paras lalu.

India pula, katanya sekali lagi mula membeli lebih banyak stok dari Malaysia dan hal ini dibuktikan oleh kenaikan import 13 peratus dari negara ini berbanding bulan sebelumnya.

"Namun, ia mungkin mengurangkan pembelian dari Indonesia kerana paras stok sawitnya jatuh kepada 14.5 peratus di bawah paras lalu pada Oktober," katanya.

Beliau menambah, RHB Investment Bank kekal 'neutral' pada sektor perladangan tanpa sebarang perubahan dibuat pada andaian harga purata jualan MSM pada RM5,100 satu tan bagi 2022 dan RM3,900 satu tan bagi 2023 buat masa sekarang.

"Kami mengekalkan pilihan utama untuk peserta bersepadu, iaitu Kuala Lumpur Kepong (KLK), IOI dan Wilmar," katanya.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) minggu lalu mengeluarkan perangkaan minyak sawit Malaysia bagi bulan Oktober, menyaksikan inventori bagi produk sawit meningkat lima bulan berturut-turut.

Kenaikan bulanan itu disebabkan oleh stok lebihan dan pengeluaran lebih tinggi.

Inventori 2.4 juta tan pada Oktober bagaimanapun lebih rendah daripada unjuran yang dibuat oleh Bloomberg iaitu 2.5 juta tan.

Sementara itu, AmInvestment Research berkata, penggunaan domestik pada bulan lalu meningkat sebanyak 8.9 peratus berbanding bulan sebelumnya apabila aktiviti hotel, restoran dan kafe (HORECA) meningkat semasa perayaan Deepavali.

"Bagaimanapun, dalam tempoh 10 bulan 2022, penggunaan domestik susut sebanyak 7.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 2.7 juta tan disebabkan oleh lonjakan kes COVID-19 semasa suku pertama lalu," katanya.

AmInvestment Research menaikkan saranan sektor perladangan kepada 'neutral' daripada 'underweight'.

"Kami percaya bahawa penurunan harga saham syarikat perladangan baru-baru ini telah pun mencerminkan risiko bekalan sawit yang lebih tinggi dan permintaan yang lemah.

"Anggaran purata harga MSM kami adalah RM4,500 satu tan bagi 2022 dan RM3,000 bagi 2023. Kami menaikkan saranan saham KLK kepada 'pegang' daripada jual, memandangkan harga sahamnya telah jatuh di bawah nilai wajar iaitu RM21.75 sesaham," katanya.

 https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2022/11/1025098/isu-kekurangan-buruh-sawit-masih-belum-selesai
Sumber: Berita Harian

Artikel Berkaitan

Wira Komoditi

Sembang dengan Wira Komoditi

· Pembantu Digital Portal Rasmi

Wira Komoditi

Wira Komoditi

Assalamualaikum dan salam sejahtera! Saya Wira Komoditi, Pembantu Digital anda. Apa yang boleh saya bantu?

4 November 2026, 6:44 Pagi

Sila daftar sebelum bertanya

Soalan dan jawapan anda akan dihantar ke emel anda apabila anda menamatkan sesi.

Butiran, soalan dan alamat IP anda disimpan selama 365 hari untuk menjawab pertanyaan anda dan menambah baik perkhidmatan ini, kemudian dipadam.

Wira Komoditi

Wira Komoditi sedang menaip...

Komited menjaga kualiti perkhidmatan anda.