SAWIT: 'Manusia ancaman terbesar hidupan liar, bukan sawit'
PUTRAJAYA: Dakwaan kelapa sawit adalah satu-satunya sebab yang mengancam hidupan liar seperti orang utan adalah tidak benar kerana ia menafikan fakta yang menyebabkan populasi semua spesies haiwan terancam berkurang.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata untuk memberi satu contoh baik di mana manusia dan alam sekitar boleh wujud secara harmoni, Malaysia telah memperuntukkan 43 kilometer persegi tanah rizab di pinggir Hutan Simpan Kabili Sepilok di Sabah bagi dijadikan tapak pemulihan orang utan.
"Hari ini, lebih kurang 60 hingga 80 orang utan hidup secara bebas di rizab ini, manakala kira-kira 25 orang utan yang kehilangan ibu bapa mereka, juga ditempatkan di sini," katanya dalam satu kenyataan menepis dakwaan bahawa minyak sawit adalah ancaman terbesar kepada orang utan.
Zuraida berkata, kempen mengelirukan yang menyebarkan kenyataan provokatif seperti 'hutan bersaiz 300 padang bola sepak ditebang setiap jam untuk pengeluaran minyak sawit', '25 orang utan hilang setiap hari' dan 'orang utan akan pupus dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang' memberi konotasi negatif kepada sektor sawit negara.
"Kempen itu berlarutan sehingga ada pihak melabelkan minyak emas ini sebagai pembunuh orang utan, yang jelas dan nyata tidak benar.
"Walaupun ia benar bahawa orang utan di Borneo kini adalah spesies terancam, perlu diingati bahawa banyak lagi spesies haiwan lain juga kini terancam akibat pertumbuhan mendadak populasi manusia," katanya.
Zuraida berkata, bukti terkini menunjukkan aktiviti memburu orang utan adalah antara penyumbang terbesar kepada penurunan populasi orang utan Borneo sejak 200 tahun lalu.
Di Kalimantan, katanya orang utan Borneo sering dibunuh untuk dagingnya atau akibat konflik manusia-orang utan.
"Data sejarah juga menunjukkan bahawa penurunan populasi orang utan telah bermula sejak abad ke-19, jauh sebelum industri kelapa sawit berkembang pada 1970-an," katanya.
Beliau menambah, menurut Statista, perubahan dalam penggunaan tanah dan laut di Asia Pasifik hanya menyumbang 43 peratus daripada faktor-faktor yang mengancam populasi hidupan liar.
Katanya, lebih daripada 50 peratus disebabkan oleh eksploitasi berlebihan spesies, ancaman spesies dan penyakit invasif, pemburuan, pencemaran dan perubahan iklim.
"Penyelidikan Statista juga menunjukkan bahawa semua hidupan liar, bukan sahaja orang utan, terancam di seluruh dunia.
"Ia tidak terhad kepada spesies monyet dan haiwan lain yang mendiami Borneo, tetapi masalah ini juga tersebar di seluruh Amerika Utara, Eropah, Asia Tengah, Amerika Latin, Caribbean dan Afrika," katanya.
Zuraida berkata, kementerian telah melancarkan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) sebagai platform mampan yang dibiayai dengan sumbangan kewangan sukarela daripada peserta industri minyak sawit.
Sehubungan itu, katanya peserta industri juga bergabung tenaga dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk menyokong usaha menyelamat dan memulihara hidupan liar.
"Ini termasuk penubuhan Unit Penyelamat Hidupan Liar Sabah yang ditubuhkan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dengan kerjasama MPOGCF, dengan tugas utama menyelamat dan memindahkan hidupan liar yang tertekan termasuk orang utan.
"Di samping itu, MPOGCF telah memulakan program Penanaman Pokok Hutan 1 Juta pada 2019, Projek Pemulihan Habitat Orang Utan selama 10 tahun dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah di Lower Kawag, Hutan Simpan Ulu Segama di Lahad Datu, Sabah sebagai sebahagian daripada inisiatif industri, dengan anggaran pelaburan sebanyak RM28 juta," katanya.
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2022/08/990367/manusia-ancaman-terbesar-hidupan-liar-bukan-sawit
Sumber: Berita Harian