Berita Agrikomoditi

Arkib Berita

SAWIT: KPPK terbit klip video kisah pertahan hak 461,000 pekebun kecil sawit

01 Sep 2022 5 paparan

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bertekad untuk terus berjuang melawan kempen antiminyak sawit demi memastikan nasib pekebun kecil di negara ini terus terbela.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata kementerian juga bertekad untuk memastikan punca rezeki pekebun kecil tidak akan disekat oleh propaganda antiminyak sawit dilancarkan sesetengah blok barat.

"Kami akan terus mendidik masyarakat berhubung salah faham mengenai minyak sawit menerusi Gerakan Global Untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit.
"Saya juga ingin menyeru semua rakyat Malaysia untuk bangkit berjuang bersama kami mempertahankan komoditi utama negara kita ini dengan semangat 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama,' katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam semangat meraikan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-65, KPPK telah menerbitkan klip video berdurasi tiga minit bertajuk 'Tanah Ini Milik Kita' yang memaparkan kisah pengorbanan keluarga pekebun kecil memanfaatkan tanah dengan menanam kelapa sawit.

"Video ini juga bertujuan menutup ruang jentera propaganda Barat, khususnya yang melemparkan dakwaan bahawa sektor perladangan sawit di negara kita dilakukan dengan memusnahkan banyak kawasan hutan dalam negara.

"Melalui hasil karya ini, kita menyaksikan kisah tiga sekeluarga, bagaimana si ayah, ibu dan anak perempuan mereka diberi kelulusan oleh pihak berkuasa tanah untuk mengusahakan tanaman kelapa sawit melalui prosedur yang betul.

"Ia bukannya secara penerokaan haram seperti yang kerap dimomok-momokkan melalui kempen anti minyak sawit.

"Ini mengukuhkan lagi justifikasi bahawa setiap pekebun di dunia ini mempunyai hak untuk bertani, mengusahakan tanaman apa pun demi kelangsungan hidup - satu jaminan di bawah Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Hak Asasi Petani dan Rakyat Yang Bekerja di Luar Bandar," katanya.

Malaysia mempunyai lebih 461,303 pekebun kecil dan tambahan 1.8 juta individu lagi yang kehidupan mereka bergantung sepenuhnya daripada rezeki yang dijana daripada hasil sawit.

Zuraida berkata, kerajaan Malaysia pada 2019 telah mengehadkan pengembangan kawasan penanaman kelapa sawit tidak boleh melebihi 6.5 juta hektar.

"Setakat 2022, Malaysia telah membangunkan seluas 5.8 juta hektar kawasan penanaman kelapa sawit, sama ada oleh pekebun kecil atau syarikat perladangan besar, dengan baki 700,000 hektar lagi yang belum diterokai bagi penanaman sawit," katanya.

Walaupun sektor perladangan sering dianggap sebagai punca utama kemusnahan hutan, katanya, perlu ditekankan bahawa pada 2019, sebanyak 24 peratus daripada keluasan tanah digunakan oleh sektor penternakan, manakala perladangan pula hanya sebanyak 29 peratus.

Beliau berkata, daripada penebangan pokok untuk laluan kepada 29 peratus keluasan ladang itu pula, tanaman paling banyak menyumbang kepada pemusnahan hutan adalah kacang soya iaitu (19 peratus) dan jagung (11 peratus), manakala kelapa sawit hanya lapan peratus, sawah padi (6 peratus) dan tebu (5 peratus).

"Justeru, Malaysia berusaha menjalin hubungan dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat bagi mewujudkan situasi menang-menang.

"Ia akan memberi manfaat kepada industri minyak sawit secara keseluruhan, walaupun kedua-dua blok perdagangan berkenaan yang juga kuasa ekonomi dunia, kekal menentang keras perdagangan minyak sawit sejak tahun 2003 lagi," katanya. - BERNAMA

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/08/994613/kppk-terbit-klip-video-kisah-pertahan-hak-461000-pekebun-kecil-sawit
Sumber: Berita Harian

Artikel Berkaitan

Wira Komoditi

Sembang dengan Wira Komoditi

· Pembantu Digital Portal Rasmi

Wira Komoditi

Wira Komoditi

Assalamualaikum dan salam sejahtera! Saya Wira Komoditi, Pembantu Digital anda. Apa yang boleh saya bantu?

4 November 2026, 6:44 Pagi

Sila daftar sebelum bertanya

Soalan dan jawapan anda akan dihantar ke emel anda apabila anda menamatkan sesi.

Butiran, soalan dan alamat IP anda disimpan selama 365 hari untuk menjawab pertanyaan anda dan menambah baik perkhidmatan ini, kemudian dipadam.

Wira Komoditi

Wira Komoditi sedang menaip...

Komited menjaga kualiti perkhidmatan anda.