Berita Agrikomoditi

Arkib Berita

SAWIT: Isu pekerja, harga input pertanian bebankan pekebun kecil sawit

26 Mei 2022 6 paparan



KUALA LUMPUR: Kebanyakan pekebun kecil terkesan dengan kekurangan pekerja dalam sektor perladangan hingga ada yang kerugian apabila buah tandan segar (BTS) sawit terbiar dan rosak.

Pengerusi Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Datuk Aliasak Ambia, berkata ramai pekebun kecil menggunakan tenaga buruh asing untuk menguruskan ladang mereka.

"Bagi pekebun kecil yang miliki tanah bawah 2.032 hektar, tidak jadi masalah kerana aktiviti di ladang kebanyakannya diuruskan sendiri atau guna buruh tempatan. Isu ini memberi impak besar kepada pekebun kecil yang ada keluasan tanah besar dan guna peranan pembeli sawit untuk mendapatkan pekerja asing.

"Permintaan yang tinggi dalam kalangan pekebun kecil untuk mendapatkan buruh asing kini tidak dapat dipenuhi berikutan ketiadaan buruh," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Aliasak berkata, hasil maklumat yang diterima daripada pekebun kecil, ramai di antara mereka yang bergantung kepada buruh luar menanggung kerugian yang besar berikutan tiada aktiviti menuai.

"Malah ada pekebun kecil rugi lebih RM10,000 terutama sewaktu harga BTS mencapai RM1,500 satu tan. Lebih menyedihkan, buah terbiar rosak di atas pokok, kebun mula tidak terurus disebabkan aktiviti pertanian tidak berjalan," katanya.

Beliau berkata, harga BTS yang kini melonjak tinggi juga tidak memberi impak kewangan yang besar kepada pekebun kecil kerana mereka dibebani pelbagai masalah lain termasuk kenaikan mendadak harga input pertanian.

Justeru, PKPKM menggesa kerajaan memperkasakan penggunaan buruh tempatan melalui peranan koperasi bagi meringankan masalah itu di peringkat huluan, terutamanya membabitkan pekebun kecil.

Katanya, ini kerana kebanyakan pekerja ladang terutamanya belia tidak berminat untuk mengusahakan ladang dan beralih ke bidang lain berikutan penawaran upah yang rendah dan tiada sistem penggajian sistematik.

"Saya yakin masalah ini dapat diselesaikan melalui pemerkasaan koperasi sebagai badan berkepentingan untuk menyediakan semua. Ia sekali gus meningkatkan penawaran buruh tempatan dan membantu menyelesaikan masalah kekurangan buruh untuk jangka panjang," katanya.

Aliasak berkata, pihaknya menyokong penuh cadangan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk semua pemegang taruh campur tangan segera bagi menyelesaikan isu buruh asing berikutan impaknya terhadap produktiviti pekebun kecil.

Selasa lalu, BH dalam laporan muka depan, memetik Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, isu kekurangan pekerja dalam sektor perladangan terutama kelapa sawit, menyebabkan kerugian mencecah RM28 bilion tahun ini.

Namun, katanya lagi, masalah itu akan diselesaikan menerusi campur tangan jangka pendek dan panjang yang berkesan dengan tindakan segera daripada pemegang taruh diperlukan bagi mempercepatkan proses membawa masuk 32,000 pekerja asing dari Indonesia.

Semalam, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menegaskan isu kekurangan pekerja di ladang sawit tidak sepatutnya timbul kerana kerajaan sudah membenarkan pengambilan 200,000 tenaga buruh asing, terutama dari Indonesia.

Kata menteri berkenaan, isu pekerja Indonesia dalam sektor perladangan sudah diselesaikan dan majikan dibenarkan mengambil mereka bekerja.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/05/959262/isu-pekerja-harga-input-pertanian-bebankan-pekebun-kecil-sawit
Sumber: Berita Harian

Artikel Berkaitan

Wira Komoditi

Sembang dengan Wira Komoditi

· Pembantu Digital Portal Rasmi

Wira Komoditi

Wira Komoditi

Assalamualaikum dan salam sejahtera! Saya Wira Komoditi, Pembantu Digital anda. Apa yang boleh saya bantu?

4 November 2026, 6:43 Pagi

Sila daftar sebelum bertanya

Soalan dan jawapan anda akan dihantar ke emel anda apabila anda menamatkan sesi.

Butiran, soalan dan alamat IP anda disimpan selama 365 hari untuk menjawab pertanyaan anda dan menambah baik perkhidmatan ini, kemudian dipadam.

Wira Komoditi

Wira Komoditi sedang menaip...

Komited menjaga kualiti perkhidmatan anda.