SAWIT: India import 376,612 tan minyak sawit Malaysia
NEW DELHI: India mengimport 376,612 tan minyak sawit dari Malaysia pada Januari, mewakili 68 peratus daripada jumlah komoditi itu.
Mengikut data yang dikeluarkan oleh kumpulan perdagangan Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) India hari ini, import dari Malaysia terdiri daripada 296,548 tan minyak sawit mentah (MSM), 68,855 tan olein minyak sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) serta 11,209 tan minyak isirung sawit mentah.
Ia berkata daripada 1.25 juta tan jumlah minyak makan yang diimport negara itu pada bulan lalu, 44 peratus daripadanya ialah minyak sawit.
India baru-baru ini mengambil beberapa langkah, termasuk mengurangkan cukai import, untuk meningkatkan bekalan minyak makan domestik, bagi mengawal kenaikan harga runcit.
Awal bulan ini, kerajaan mengehadkan jumlah minyak makan dan peniaga minyak bijian dibenarkan menyimpan stok mereka untuk mengekang pengumpulan dan manipulasi harga.
Had stok ditetapkan pada tiga tan bagi peruncit minyak makan dan 50 tan bagi pemborong manakala pemproses minyak makan dibenarkan menyimpan 90 hari kapasiti penyimpanan mereka. – Bernama
https://www.bharian.com.my/amp/bisnes/lain-lain/2022/02/922584/india-import-376612-tan-minyak-sawit-malaysia
Sumber: Berita Harian