SAWIT: Dunia perlu yakin potensi minyak sawit Malaysia
KUALA LUMPUR: Dunia seharusnya meyakini potensi minyak sawit Malaysia kerana inisiatif kemampanan minyak sawit negara, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata, ia dilakukan menerusi pelbagai kempen berterusan kementeriannya yang giat dilaksanakan bagi mempertahankan imej minyak sawit yang memiliki reputasi harga komoditi tinggi, selain situasi ketidakstabilan pengeluaran minyak masak dunia buat masa ini
"Mengambil kira situasi terkini Ukraine-Russia dan perubahan cuaca yang menyebabkan kekurangan bekalan minyak soya dan bunga matahari, ini adalah peluang keemasan untuk Malaysia mempromosikan kebaikan minyak sawit kepada Kesatuan Eropah (EU) agar dapat mengisi kelompongan bekalan minyak masak dunia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zuraida berkata, walaupun EU menentang perdagangan minyak sawit sejak 2003, Malaysia berazam untuk memupuk hubungan baik dengan blok perdagangan itu demi penyelesaian menang-menang kepada industri sawit negara.
Beliau berkata, ini sedang dilakukan melalui pelbagai platform, antaranya Kumpulan Kerja Bersama ASEAN-EU, program seminar atau webinar dan dialog serta perbincangan melalui misi promosi ekonomi dan minyak sawit di EU.
"Malaysia bertekad untuk terus menyalurkan pelbagai maklumat terkini mengenai industri minyak sawit, khususnya dari aspek kesihatan dan pemakanan serta kemampanan, bagi menghapus tanggapan yang salah mengenai minyak sawit dan produk berkaitannya dalam kempen anti-minyak sawit di EU," katanya.
Sejajar dengan usaha itu, beliau berkata dua inisiatif iaitu program perkongsian Malaysia-EU yang bertujuan untuk meningkatkan kelestarian perdagangan minyak sawit dan kerjasama di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) telah dilaksanakan oleh kementeriannya.
Katanya, di bawah inisiatif perkongsian Malaysia-EU, terdapat dua program yang penting iaitu projek Kelestarian Minyak Sawit Malaysia dan Indonesia, yang juga dikenali sebagai Keberlanjutan Sawit Malaysia dan Indonesia (KAMI); serta Inisiatif Kebangsaan Pekebun Kecil Kelapa Sawit Mampan dan Pintar Iklim (NI-SCOPS) dengan Belanda.
"Dalam inisiatif CPOPC, Malaysia bekerjasama rapat dengan Indonesia untuk menentang kempen anti-minyak sawit di peringkat global menerusi pelbagai program untuk menggagalkan kempen anti-minyak sawit," katanya.
Malaysia dan Indonesia, dua pengeluar minyak sawit terbesar dunia, telah menghantar surat bantahan kepada EU pada April 2019 mengkritik keputusan untuk tidak lagi menganggap minyak sawit sebagai biofuel, yang juga mengancam hubungan blok itu dengan kedua-dua negara.
Ini berlaku selepas Suruhanjaya Eropah (EC) memutuskan bahawa minyak sawit mengakibatkan penebangan hutan yang berlebihan dan ia tidak lagi boleh dianggap sebagai bahan api pengangkutan boleh diperbaharui, melainkan untuk beberapa pengecualian.
Perkara itu menyebabkan Malaysia mengambil tindakan undang-undang terhadap EU dan dua ahlinya iaitu Perancis dan Lithuania, pada 15 Januari 2021 di bawah Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Tindakan diambil berikutan keputusan EU untuk mengklasifikasikan minyak sawit sebagai tanaman yang berisiko tinggi untuk perubahan status guna tanah tidak langsung.
EU juga menganggap industri minyak sawit menyumbang kepada penebangan hutan dan kehilangan biodiversiti, malah negara-negara EU turut menggunakan European Union Renewable Energy Directive II dalam proses perundangan mereka.
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2022/06/970390/dunia-perlu-yakin-potensi-minyak-sawit-malaysia
Sumber: Berita Harian