SAWIT: Banteras peniaga sawit tanpa permit dapat halang kecurian
JEMPOL: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) digesa campur tangan termasuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang menjalankan urusan jual beli buah sawit tanpa permit.
Pengerusi Pertubuhan Satu Silaturahim Anak FELDA (1SAF), Mohamad Yahya Zakaria, berkata harga komoditi itu yang tinggi ketika ini menyebabkan kejadian mencuri buah sawit semakin kerap berlaku..
Beliau berkata, MPOB boleh membantu membanteras perbuatan itu dengan mengambil tindakan kepada penjual termasuk pembeli yang menjalankan urus niaga buah sawit secara haram.
"Harga bagi satu tan kelapa sawit ketika ini mencecah RM1,450. Berikutan itu, ada pencuri yang sanggup masuk ke dalam kebun bagi menuai buah pada waktu malam dan memunggah hasil itu termasuk menggunakan kereta.
"Biarpun ada yang mendakwa sukar mengekang kecurian apatah keadaan ladang yang luas tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil jika semua pihak memainkan peranan sebaiknya.
"Kita juga berharap FELDA mempunyai kaedahnya yang tersendiri dalam mengekang aktiviti kecurian ini terutama di ladang yang diuruskan FELDA," katanya hari ini.
Mohammad Yahya menyambut baik apabila media turut melaporkan kecurian kelapa sawit sebagai pengajaran dan peringatan kepada pemilik kebun serta orang ramai.
Katanya, beliau yakin kes kecurian buah sawit banyak berlaku tetapi tidak ramai yang melaporkannya kepada pihak berkuasa.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/05/959845/banteras-peniaga-sawit-tanpa-permit-dapat-halang-kecurian
Sumber: Berita Harian