KENYATAAN MEDIA : 11 OKTOBER 2019
KENYATAAN MEDIA YB TERESA KOK MENTERI INDUSTRI UTAMA
PROGRAM DAN INSENTIF KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA
DI BAWAH BAJET 2020 | 11 OKTOBER 2019
1. Kementerian Industri Utama (MPI) merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri di atas pembentangan Belanjawan 2020 bertemakan “Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama” oleh YB Tuan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 11 Oktober 2019.
2. MPI diperuntukkan sebanyak RM670.15 juta iaitu RM259.52 juta untuk perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM410.62 juta melalui Belanjawan 2020 ini.
3. MPI akan memberi komitmen yang tinggi dalam usaha untuk terus memacu pertumbuhan industri agrikomoditi negara ke satu tahap yang lebih tinggi. MPI telah bersedia dengan program dan inisiatif untuk meneruskan usaha-usaha meningkatkan sumbangan sektor agrikomoditi kepada pengukuhan ekonomi negara berpaksikan empat teras Belanjawan 2020 berikut:
Teras 1:
Memacu Pertumbuhan Ekonomi Dalam Ekonomi Baharu dan Era
Digital
Teras 2:
Pelaburan Ke Atas Rakyat: Meningkatkan Keupayaan Modal Insan
Teras 3:
Mewujudkan Masyarakat Yang Bersatu, Inklusif dan Saksama
Teras 4:
Memulihkan Institusi dan Kewangan Awam.
4. Melalui Teras 1, Strategi Ke-4 Belanjawan 2020: Mengukuhkan Kepelbagaian Ekonomi, Kerajaan menumpukan kepada usaha menambah nilai kepada sektor komoditi secara khusus melalui program-program berikut:
(i) Dana pinjaman penanaman semula kelapa sawit berjumlah RM550 juta untuk pekebun kecil tanpa cagaran pada kadar faedah 2% setahun. Tempoh pinjaman adalah selama 12 tahun termasuk tempoh moratorium selama 4 tahun ke atas pembayaran balik. Penanaman semula akan dijalankan menggunakan teknik semaian terkini serta mematuhi piawaian Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk memastikan produktiviti dan kebolehpasaran yang lebih baik.
(ii) Peruntukan RM27 juta untuk menyokong usaha Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam meluaskan pasaran minyak sawit di peringkat antarabangsa dan menangani Kempen Anti Minyak Sawit.
(iii) Untuk meningkatkan penggunaan biodiesel, program B20 untuk sektor pengangkutan akan dilaksanakan menjelang akhir tahun 2020. Ini dijangka meningkatkan permintaan minyak sawit sebanyak 500,000 tan setahun.
(iv) Peruntukan RM100 juta untuk Insentif Pengeluaran Getah (IPG) pada tahun 2020 bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang terjejas akibat kejatuhan harga getah.
(v) Peruntukan RM30 juta geran padanan R&D untuk menggalakkan kerjasama di antara industri dan ahli akademik bagi meningkatkan nilai tambah dalam penggunaan minyak sawit di sektor hiliran terutamanya tocotrienol dalam produk farmaseutikal dan bahan api biojet.
(vi) Peruntukan RM150 juta sebagai galakan program integrasi tanaman seperti cili, nenas, kelapa, tembikai dan buluh dalam usaha membantu petani dan pekebun kecil mempelbagaikan sumber pendapatan.
5. Dengan unjuran pertumbuhan ekonomi global yang menurun kepada 3.2% pada Julai 2019 berbanding 3.9% pada Julai 2018, tahun 2020 dilihat sebagai tahun yang mencabar kepada sektor agri-komoditi. Namun demikian, MPI akan terus memberi tumpuan kepada sektor industri utama yang merupakan penyumbang yang signifikan kepada pembangunan ekonomi negara dan pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat luar bandar.
Kementerian Industri Utama
11 Oktober 2019