KENYATAAN MEDIA MPOCC : 18 OKTOBER 2019
KENYATAAN MEDIA
BERHUBUNG BELANJAWAN 2020
“MEMACU PERTUMBUHAN DAN KEBERHASILAN SAKSAMA KE ARAH KEMAKMURAN BERSAMA”.
1. Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) mengalu-alukan langkah kerajaan untuk terus menyokong kelestarian industri sawit negara sewaktu dalam pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan, Yang Berhormat Lim Guan Eng di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia pada 11 Oktober 2019 lalu.
2. Sebagai menyokong ke arah pembangunan mampan, pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) adalah untuk memastikan produktiviti dan kebolehpasaran lebih meluas di peringkat domestik dan global.
3. Sebagai agensi yang mengawal selia skim MSPO sejak 1 Januari 2015, MPOCC yakin langkah menjadikan pematuhan MSPO secara mandatori bertujuan untuk menaik taraf keseluruhan industri dan ia penting ke arah penjenamaan minyak sawit tempatan sebagai produk yang dihasilkan secara mampan dan selamat.
4. Langkah kerajaan dalam Belanjawan 2020 yang memberi dana pinjaman penanaman semula kelapa sawit berjumlah RM550 juta untuk pekebun kecil tanpa cagaran pada kadar faedah 2% setahun dilihat sebagai langkah positif membantu kelompok berkenaan.
5. Menerusi sokongan berterusan kerajaan, MPOCC berharap pelaksanaan dan perancangan kepada setiap pihak berkepentingan dalam industri sawit negara akan menjayakan matlamat MSPO ke arah mencapai 100 peratus pensijilan di seluruh negara, menjelang akhir tahun 2019 dan jangkaan peningkatan produktiviti dan kebolehpasaran sawit negara seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2020.
6. Menerusi MSPO, antara faedah yang diperolehi ialah peluang pemasaran buah tandan segar (BTS) mampan lebih luas, hak pekebun kecil lebih terjamin, akses kepada pinjaman atau modal pelaburan dari institusi kewangan, persekitaran biodiversiti terpelihara, pekebun kecil mempunyai rekod pengurusan ladang yang lebih baik serta keyakinan dan kepuasan pihak berkepentingan.
7. Di samping itu, MPOCC mengalu-alukan langkah kerajaan dalam Belanjawan 2020 yang menyokong usaha menangani kempen anti-minyak sawit dengan peruntukan sebanyak RM27 juta bagi tujuan meluaskan pasaran minyak sawit ke peringkat global serta pelaksanaan penggunaan Biodiesel B20 dalam sektor pengangkutan menjelang akhir tahun depan dijangka mampu meningkatkan permintaan minyak sawit sebanyak 500,000 tan setahun.
Kenyataan oleh;
Encik Chew Jit Seng
Ketua Pegawai Eksekutif
Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia
18 Oktober 2019