KENYATAAN MEDIA: 14 OKTOBER 2019
KENYATAAN MEDIA
YB TERESA KOK
MENTERI INDUSTRI UTAMA
CADANGAN MALAYSIA DALAM USAHA MENGIMBANGI JURANG PERDAGANGAN DENGAN INDIA
Menteri Industri Utama, YB Teresa Kok telah mempengerusikan mesyuarat pada 14 Oktober 2019 yang melibatkan pegawai kanan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bagi membincangkan usaha untuk meningkatkan perdagangan dua hala dengan India.
Mesyuarat tersebut merupakan mesyuarat susulan daripada perbincangan antara YB Teresa Kok, Menteri Industri Utama bersama Hon. Piyush Goyal, Menteri Perdagangan dan Industri India di New Delhi pada awal Ogos tahun ini. Semasa perbincangan tersebut, YB Teresa Kok telah menegaskan sekali lagi komitmennya untuk merapatkan jurang perdagangan antara kedua-dua negara. Dalam hal ini, Malaysia akan meneroka peluang untuk meningkatkan import gula mentah dari India pada tahun 2020.
Selain itu, syarikat-syarikat tempatan juga digalakkan untuk mengimport lebih banyak produk dari India dengan memanfaatkan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA). Di samping itu, Malaysia juga sedang mengkaji prospek untuk mengimport lebih banyak daging kerbau dari India selaras dengan peningkatan permintaan pasaran tempatan.
Langkah ini dibuat dengan mengambil kira kepentingan India sebagai pasaran eksport ketiga terbesar pada tahun 2018 bagi minyak sawit dan produk berasaskan sawit dengan nilai eksport sebanyak RM6.84 bilion. Jumlah ini menyumbang 10.1% kepada jumlah keseluruhan eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit negara yang jelas menunjukkan betapa pentingnya pasaran India kepada Malaysia.
YB Teresa Kok mengambil perhatian terhadap berita-berita semasa mengenai isu-isu yang menggugat hubungan baik antara Malaysia dan India, yang telah lama terjalin dan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara sejak 6 dekad yang lalu. Dalam hal ini, Malaysia sentiasa terbuka untuk mengadakan rundingan dengan Kerajaan India dalam mengimbangi jurang perdagangan antara kedua-dua negara.
YB TERESA KOK
15 Oktober 2019