KUALA LUMPUR: Industri minyak sawit perlu mengkaji penggunaan semula sisa sebagai stok suapan penting untuk bahan api penerbangan mampan (SAF), di luar penggunaan tradisional minyak sawit, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau menekankan keperluan untuk industri minyak sawit serta sektor bukan penerbangan lain menyumbang kepada kedudukan Malaysia di barisan hadapan dalam landskap bahan api mampan.

"Ini juga peluang untuk kita menghubungkan industri Malaysia dengan seiring, supaya kita bukan sahaja membekalkan untuk rantaian bekalan global, malah menghasilkan lebih banyak inovasi dan produk tempatan yang pada akhirnya relevan di peringkat global," katanya dalam ucapan perasmian Simposium Penerbangan Mampan MyAero 2024 di sini pada Selasa.

Liew turut menekankan kepentingan pengintegrasian dalam industri Malaysia dan perhubungan antara sektor untuk membentuk masa depan industri penerbangan.

Beliau turut menyentuh mengenai Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030, yang memperincikan 41 inisiatif yang dijangka menjana RM55.2 bilion pada setiap tahun dan mewujudkan 32,000 pekerjaan berteknologi tinggi menjelang 2030.

"Kami berharap dapat menjadikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa di rantau ini dan komuniti global, dan untuk membina sinergi bersama-sama negara jiran dengan menggalakkan pembangunan rantaian bekalan dan penggunaan alternatif mampan seperti bahan api tenaga mampan, elektrik dan tenaga berasaskan hidrogen," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Industri Aeroangkasa Nasional Malaysia (NAICO) Prof Shamsul Kamar Abu Samah menekankan rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus industri (iESG) Malaysia sebagai penting untuk peralihan firma aeroangkasa kepada amalan mampan.

"Ini termasuk inisiatif seperti membangunkan teknologi lebih bersih, meningkatkan kecekapan bahan api dan melabur dalam proses pembuatan mampan.

"Perkongsian kerjasama antara kerajaan, syarikat aeroangkasa dan institusi penyelidikan adalah penting untuk memacu inovasi ini ke hadapan dan mencapai matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus di samping mengekalkan daya maju ekonomi dan daya saing dalam pasaran global," katanya.

-- BERNAMA

 

https://www.astroawani.com/berita-bisnes/industri-minyak-sawit-disaran-guna-semula-sisa-untuk-bahan-api-penerbangan-mampan-liew-479307?

 

Sumber : Astro Awani